Pilih Bahasa

Asrama desa dibina di Kemabong: Jamawi

Jamawi (kanan) bersama Ewon (dua dari kiri) bertanya khabar kepada para pelajar yang menghuni sementara asrama semasa tinjauan tersebut. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

KEMABONG : Sebuah asrama desa baharu untuk kemudahan murid Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah  Kebangsaan (SK) Kemabong yang tinggal jauh dari kawasan sekolah dan gagal mendapatkan asrama akan dibina di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata asrama desa ini akan memberikan kemudahan kepada para pelajar sekolah menengah dan rendah dari Zon Bukit (Rundum, Sumambu, Kapulu, Katubu, Kengkawang, Kolorok, Paitan, Ungga.

“Oleh kerana kemudahan asrama di SMK Kemabong agak terhad tidak dapat menampung permintaan pelajar yang  ramai dan berhasrat tinggal di asrama, kebanyakan ibu bapa yang terlibat membina rumah sendiri bagi menempatkan anak anak mereka agar tidak jauh dari sekolah dan tidak tercicir dari pendidikan,” katanya ketika di temui di sini baru baru ini.

Ewon (kanan) dan Jamawi semasa meninjau keadaan asrama sementara yang didirikan oleh ibu bapa pelajar di Kemabong Lama. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

Sebelum itu beliau mengiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick melawat beberapa asrama yang di bina oleh ibu bapa pelajar di Kemabong Lama yang sebahagianya amat daif dan persekitaran yang kurang  selasa untuk pembelajaran.

Menurut Jamawi, pihaknya amat berterima kasih dengan keprihatinan Ewon terhadap masalah tersebut dan telah meluluskan peruntukan khas Menteri sebanyak RM100,000 bagi membina sebuah asrama desa yang baharu.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai keprihatinan Ewon dan kerajaan negeri  tentang masalah ini dan untuk tempoh terdekat ini saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Pejabat Pendidikan daerah Tenom, Majlis Daerah Tenom (Pemilik Tanah) dan ADO Kemabong agar kerja kerja pembinaan dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Menurut Jamawi dengan terbinanya asrama desa yang baharu ini ianya bukan sahaja memberikan kemudahan kepada para pelajar yang terlibat namun dapat meningkatkan kehadiran murid di sekolah itu. – SabahNewsToday