Pilih Bahasa

Aswara cawangan pertama di Sabah bakal ditubuhkan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (kanan) menerima cenderahati daripada Mohamaddin sempena kunjungan hormat Aswara ke atas Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan membuka Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Sabah bagi memberikan peluang kepada pelajar di negeri ini yang berminat menimba ilmu dalan bidang seni dan budaya.

Sehubungan itu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri bersedia membantu merealisasikan penubuhan Aswara untuk membolehkan martabat bidang seni dan budaya tempatan dapat ditingkatkan ke dalam jiwa generasi muda.

“Kerajaan negeri memberikan sokongan untuk membolehkan apa yang dihasratkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu menubuhkan Aswara di Sabah terlaksana. Usaha ini cukup baik.

“Kita akan kenalpasti lokasi bersesuaian untuk membina akademi itu di negeri ini dan saya sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Hashim Paijan melihat perkara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Shafie menerima kunjungan hormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi bersama rombongan Aswara di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Mohd Shafie berkata penubuhan Aswara di Sabah akan dapat membantu mengurangkan kos penghantaran pelajar negeri ini ke Semenanjung bagi mengikuti kursus dalam bidang seni.

Sementara itu, Mohamaddin berkata penubuhan Aswara di negeri ini adalah tepat pada masanya untuk membolehkan para pelajar Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung mengikuti pengajian di akademi Aswara kampus Sabah.

“Sabah menjadi cawangan pertama Aswara di luar Kuala Lumpur. Akademi yang ada di Semenanjung tidak besar, justeru kita mohon kerjasama daripada kerajaan negeri untuk kita kembangkan sayap Aswara ke Sabah.

“Di samping itu usaha ini adalah salah satu cara untuk kita mempertingkatkan integrasi nasional di negara ini,” katanya sambil menambah Aswara kini mempunyai seramai 1,200 pelajar.

Ditanya mengenai anggaran peruntukan diperlukan bagi membina kampus Aswara di Sabah, Mohamaddin berkata pihaknya masih belum dapat menyatakan nilai sebenar kerana ia baharu di peringkat awal termasuk masih mengenalpasti lokasi akademi itu. – SabahNewsToday