Pilih Bahasa

Asyik berjudi online, teguran suami dijawab dengan batang besi

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis menahan seorang wanita tempatan dipercayai mencederakan suaminya menggunakan batang besi akibat menegurnya yang sedang berjalan-jalan di ruang tamu rumah bagi mencari talian internet untuk bermain judi atas talian, di sebuah rumah di Kampung Panji, pukul 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek yang bekerja sebagai pemungut besi buruk, berusia 40 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat suaminya, pukul 11.55 pagi, semalam.

Mangsa mengalami kecederaan di muka, pipi dan bahagian dada akibat dipukul isterinya. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Beliau berkata siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran diantara mangsa dan isteri di rumah mereka pada Sabtu lalu berikutan mangsa menegur suspek yang berjalan di ruang tamu rumah bagi mencari talian internet untuk bermain judi atas talian di telefon bimbitnya.

“Berang dengan teguran mangsa, suspek kemudian mengambil batang besi di luar rumah dan memukul pengadu.

Suspek memukul suaminya selepas ditegur berjalan diruang tamu rumah bagi mencari talian internet untuk bermain berjudi atas talian. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Mangsa mengalami kecederaan di kening kiri, pipi dan bahagian dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menangkap suspek dirumahnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Besi yang diguna suspek untuk memukul suaminya. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengesan sindiket perjudian atas talian.

“Polis Lahad Datu kini giat mengesan sindiket perjudian ini supaya tindakan lebih tegas dapat dijalankan,” katanya – SabahNewsToday