Pilih Bahasa

Atlet Sabah diseru tabah berjuang

KOTA KINABALU: Kekurangan prasarana tidak pernah mematahkan semangat atlet-atlet Sabah untuk berjuang menyaingi kehebatan atlet negeri-negeri lain yang dapat berlatih dalam suasana dan kemudahan serba moden dan canggih.

Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Phoong Jin Zhe berkata beliau sedar dengan kekurangan prasarana sukan di negeri ini, tetapi tetap berharap atlet-atlet Sabah akan terus tabah dan berjuang sepenuh tenaga untuk membawa pulang kejayaan.

Phoong (berdiri empat dari kiri) bersama kontinjen Ten Pin Bowling Sabah. Gambar SNT/Ihsan MSN

“Banyak prasarana sukan yang kita kekurangan di negeri ini. Antaranya ialah gimnastik, angkat berat, boling dan juga renang.

“Namun, itu tidak mematahkan semangat kita untuk melahirkan atlet-atlet berjaya yang berkelas antarabangsa dan dunia.

“Saya percaya, jika kita memiliki prasarana yang lebih sempurna setanding negeri-negeri lain khususnya di Semenanjung Malaysia, kita sudah tentu mampu melahirkan lebih ramai atlet cemerlang dan seterusnya mengembalikan penguasaan kita dalam sukan-sukan ini yang mana dahulunya kita merupakan pasukan digeruni,” jelas beliau.

Phoong berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Bendera Sabah kepada kontinjen tenpin boling yang akan menyertai Kejohanan Kebangsaan dan Antara Negeri 2019 di Bilik Mesyuarat KBSS, Wisma MUIS, Sembulan pada Khamis.

Bendera Sabah disampaikan kepada ketua kontinjen Rozzainny Sham Talip dengan disaksikan oleh presiden Persatuan Tenpin Boling Negeri Sabah (PTBNS) Datuk Haji Mohd Zain Said dan Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah (Bahagian Acara) Valerie Wong.

Kontinjen Sabah akan menyertai pertandingan untuk kategori senior dan remaja di kejohanan itu yang akan berlangsung di Sunway Megalanes, Selangor bermula 26 Julai hingga 4 Ogos.

Para pemain terdiri dari (pemain senior lelaki); Mohd Ainal, Tan Chien Nan, Mohd Danil dan Mohd Noer Said, (pemain senior wanita); Rachael Fitrianna, Syarifah Nadya, Bibi Bianah dan Dzuriani Zulkiplee, (pemain remaja lelaki); Nevern Netaneel (pelapis kebangsaan), Sushanor Sihanor, Mohd Sufyan Ismat dan Emmanuel Fo, (pemain remaja perempuan); Nurul Ayunni (pelapis kebangsaan), Nurul Alyssa (pelapis kebangsaan), Intan Qistina dan Cara Loh.

Turut mengiringi pasukan negeri ke Selangor ialah pengurus pasukan senior Ag. Mohd Sharil, pengurus pasukan remaja Wan Redzuan dan jurulatih Mohd Hafiy -SabahNewsToday