Pilih Bahasa

Autonomi Umno Sabah disahkan pada Perhimpunan Agung 13 Nov

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Bermula 13 November nanti, Badan Perhubungan Umno Sabah akan mempunyai kuasa autonomi sepenuhnya dalam menentukan halatuju perjuangan parti tersebut di negeri ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata Perlembagaan Umno akan turut dipinda bagi memaktubkan kewujudan Umno Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi.

Zahid (hadapan tengah) bersama kepimpinan tertinggi Umno pusat dan Umno Sabah serta rakan daripada Pas dan MCA selepas majlis perasmian Konvensyen Umno Sabah 2019 di Bangunan Umno Sabah hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Menurutnya, dipersetujui dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas dan setelah diperhalusi oleh Majlis Tertinggi Umno, maka kewujudan Umno Sabah berautonomi penuh termasuk penukaran peraturan-peraturan dalam parti akan disahkan semasa Perhimpunan Agung tahun ini pada November nanti.

Dalam hal ini, ujarnya Umno Sabah turut diberi penghormatan sebagai badan perhubungan yang pertama mengadakan Konvensyen tahun ini.

“Ini merupakan pengiktirafan terhadap Umno Sabah,” kata Zahid dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Umno Sabah 2019 di Bangunan Umno Sabah di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Zahid berkata pemberian kuasa autonomi kepada Umno Sabah merupakan atas permintaan pemimpin-pemimpin parti dari negeri ini.

Zahid (tiga kanan) menerima memorandum daripada Wanita Umno Sabah yang diketuai Datuk Jainab Ahmad (tiga kiri). Turut kelihatan Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin (empat kanan). Gambar SNT/Chris Maskilone

“Pada pilihanraya umum akan datang, calon-calon Umno di Sabah akan dipilih oleh Badan Perhubungan Umno Sabah sendiri bukan itu sahaja, jikalau calon Ketua Menteri Sabah pun akan dipilih oleh Umno Sabah sendiri,” katanya.

Zahid berkata Umno Sabah ingin berfungsi dalam keadaan autonomi penuh kerana ia komited bersama-sama dengan parti komponen yang ada untuk memberi “new deal” (tawaran baharu) apabila waktunya tiba kelak kepada rakyat Sabah.

“Oleh yang demikian konvensyen pada hari ini tentunya akan memperincikan beberapa susun atur dan gerak kerja yang akan dilaksanakan oleh Umno Sabah dan terus diperhalusi bagi pelaksanaannya untuk tiap-tiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Beliau yakin dengan komitmen kepimpinan di peringkat nasional dan bahagian-bahagian seluruh Sabah bagi mereliasisasikan rumusan konvensyen pada hari ini.

PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL

Sementara itu ketika ditanya bagaimana beliau melihat penerimaan rakyat Sabah terhadap Piagam Muafakat Nasional yang membawa kepada penyatuan ummah antara Umno dan Pas, Zahid berkata:

“Saya telah menyatakan acuan Sabah adalah untuk rakyat Sabah maka kepimpinan Umno Sabah tahu apakah bentuk acuannya dan pada hemat kepimpinan di peringkat nasional hanya orang Sabah dan kepimpinan Sabah di dalam Umno tahu apa yang perlu dipersesuaikan dari piagam penyatuan ummah ini mengikut landskap politik di Sabah.”

Menurutnya lagi, kepimpinan Umno pusat akan menghargai pendirian dan apa juga yang akan dilakukan oleh kepimpinan Umno Sabah mengikut kesesuaian negeri ini.

Ditanya jika pakatan yang termeterai antara Umno dan Pas di Semenanjung Malaysia itu akan mempunyai impak terhadap sokongan kepada Umno di Sabah, Zahid berkata:

“Ada sedikit … tetapi kita tidak boleh mengetepikan yang sedikit itu untuk menjadi lebih kuat dan lebih banyak.”

Terdahulu dalam ucapannya Zahid menjelaskan Piagam Muafakat Nasional Pas bukan semata-mata untuk orang Melayu dan Islam sahaja malah untuk seluruh rakyat.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Zahid berkata Umno berjanji akan melaksanakan sepenuhnya sekiranya ianya menjadi kerajaan semula selepas pilihanraya umum akan datang.

“Bukanlah sekadar berjanji akan melihat untuk melaksanakannya dan bukan seperti di sambutan Hari Malaysia di (Kuching) Sarawak (baru-baru ini) lagu Sabah (Tanah Airku) tidak dimainkan, Ketua Menteri Sabah tidak dibenarkan bercakap,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempunyai sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinan Umno Sabah yang diketuai oleh Datuk Bung Moktar Radin dalam menggariskan tawaran baharu untuk rakyat Sabah berdasarkan empat aspek dalam strategi Umno.-SabahNewsToday