Pilih Bahasa

Azis Jamman menang tanpa tanding Ketua Bahagian Warisan Sepanggar

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman memenangi jawatan Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Sepanggar tanpa tanding.

Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ketua Wira Warisan tidak dicabar bagi pemilihan bahagian dijadualkan pada 7 April nanti.

Datuk Mohd Azis Jamman. Gambar Fail SNT

Sabah News Today difahamkan ketua penaja bahagian, Haji Mentoh Aru telah menarik diri daripada pertandingan.

Walaubagaimanapun, jawatan lain akan menyaksikan pertandingan bermula daripada jawatan timbalan ketua bahagian di mana ianya bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Mereka yang bertanding bagi jawatan timbalan ketua bahagian ialah timbalan ketua penaja Mohd Salleh Abdullah, Ahmad Jais Otong, Budri Abdul Rasak dan naib ketua penaja Rhamat Mattail.

Bagi jawatan naib ketua bahagian pula terdapat lima calon iaitu Zaidi Lazim, Akmad Jaid Asoi, Hafizul Alif Bansulla, Zakaria Damit dan Mohd Ibrahim Abdullah @ Yembun.

Untuk 15 jawatan AJK bahagian, 19 telah senaraikan bagi pemilihan.

Bagi jawatan ketua wanita, ianya menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Elaanti Anbar @ Elyanti Anyar, Katidzah Wasli, Mahani Abdullah dan Terisa Jikil.

Sementara itu, ketua penaja Wira, Norazmi Alimat dicabar empat calon iaitu Jainal Roslie, Jumardie Lukman, Aldrine Wahdi dan Mohd Izzul Islam Muhammad Amin bagi jawatan ketua Wira bahagian Sepanggar.

Begitu juga bagi ketua penaja Wirawati, Erzayani Opong akan turut berdepan dengan empat pencabar iaitu Marina Rakman, Raisa Abd Ghaffur, Milnah Suhod dan Norhaizah Abu Bakar bagi jawatan ketua Wirawati bahagian Sepanggar.

Mesyuarat Agung dan pemilihan Wanita, Wira dan Wirawati bahagian Sepanggar akan diadakan serentak para 6 April ini.-SabahNewsToday