Pilih Bahasa

Azis menerima rawatan di Glenagles

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang mengalami kecederaan dibahagian kaki akibat kemalangan ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi pagi tadi, sudah dipindahkan ke hospital swasta Gleneagles di sini, sebentar tadi.

Mohd Azis tiba kira-kira jam 2 petang dengan diiringi sekumpulan individu dipercayai kakitangan kementerian.

Ambulans yang membawa Timbalan Menteri Dalam Negeri tiba dari Hospital Daerah Tuaran di wad kecemasan Gleneagles Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagaimanapun, wartawan dan jurugambar yang menanti di hadapan wad kecemasan itu dihalang mengambil gambar dan diminta berkumpul di lobi hospital berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar bersama menyertai konvoi “Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah” anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang juga untuk mempromosikan sambutan Jubli Perak Regatta Lepa-Lepa di perkarangan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pagi tadi.

Pengawal keselamatan hospital menghalang jurugambar bertugas ketika ambulans yang membawa Timbalan Menteri Dalam Negeri tiba dari Hospital Daerah Tuaran di wad kecemasan Gleneagles Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kemalangan berlaku sekitar jam 10 pagi ketika konvoi yang menuju ke Ranau menuruni bukit antara Kelawat dan Pekan Nabalu.-SabahNewsToday