Pilih Bahasa

Badan keagamaan bukan Islam dan Gereja terus dapat perhatian Kerajaan Negeri: Madius

RANAU: Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan terus memberi bantuan kepada badan-badan keagamaan dan gereja di masa hadapan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memberi jaminan bahawa badan-badan keagamaan bukan Islam serta gereja di Sabah akan terus mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri.

Madius mengucapkan tahniah kepada Rev Jerry selepas Bangunan Akademik Borneo Theological Seminary dibuka dengan rasminya di Namaus.-Gambar SNT/Ihsan KP&I

Ini termasuklah memberi dana peruntukan lebih besar setiap tahun, ujarnya.

“Sabah mempunyai pelbagai kaum dan agama, dan sebab itu kita harus saling hormat menghormati antara satu sama lain supaya perpaduan akan dijaga sampai bila-bila,” katanya.

Rev Jerry (dua kanan) membawa Madius meninjau bangunan Akademik Borneo Theological Seminary.-Gambar SNT/Ihsan KP&I

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Industri berkata demikian semasa menyaksikan upacara pentahbisan Bangunan Akademik Borneo Theological Seminary oleh Presiden SIB Sabah Rev Datuk IR Jerry W Dusing di Namaus dekat sini hari ini.

Bangunan yang mempunyai lima kelas itu boleh memuatkan seramai 500 orang pada satu-satu masa.

Bangunan Akademik Borneo Theological Seminary. Gambar SNT/Ihsan KP&I

Dalam pada itu, Madius mengucapkan tahniah kepada Gereja SIB Sabah atas kejayaan melahirkan banyak pastor, pensyarah dari peringkat sijil, diploma, sarjana, doktor, ahli-ahli profesional serta pemimpin-pemimpin dalam berbagai bidang yang turut menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah.

Beliau turut memuji usaha menyiapkan bangunan tersebut yang diketuai oleh Presiden SIB Sabah sendiri dalam mencari dana sehingga siapnya bangunan tersebut dengan kos RM2.5 juta.-SabahNewsToday