Pilih Bahasa

Bahang 64 Sumandak bertanding merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan Negeri 2019 kian terasa

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Bahang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) kian terasa apabila seramai 64 ‘sumandak’ Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) seluruh Sabah termasuk cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, mengesahkan diri dalam pertandingan berkenaan hari ini.

Namun, disebalik kehangatan pertandingan berkenaan, peringkat Pra Penilaian Kajian Kebudayaan Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Negeri 2019 kini menjadi salah satu aspek penilaian peserta yang ditekankan tahun ini.

64 peserta Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Negeri 2019 merakamkan gambar kenangan bersama UNK Negeri 2018, Hosiani James Jaimis (depan tengah). Gambar SNT/Alfred Petrus

Pengerusi Jawatankuasa UNK Peringkat Negeri, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata setiap peserta UNK negeri akan menjalani satu sesi soal jawab berkenaan kajian kebudayaan yang telah dibukukan mengikut kawasan yang diwakili oleh peserta.

“Kita sedia maklum, kecantikan adalah penilaian yang paling tinggi dalam UNK, namun selain itu, aspek yang kami cari tahun ini adalah dalam pra penilaian yang mana peserta perlu lalui peringkat soal jawab.

“Apa yang kami harapkan adalah, peserta mempunyai pengetahuan berkenaan kawasan yang mereka wakil secara mendalam dan pada malam 28 Mei, pra penilaian akan dijalankan berdasarkan kajian tempatan yang mereka lakukan.

“Buku kajian tersebut akan diambi, dan kami mahu melihat mereka betul-betul memahami serta belajar dari kajian beliau. Kami juga mengharapkan peserta-peserta ini mempunyai pengetahuan berkenaan isu-isu semasa,” katanya dalam satu sidang akhbar sesi Pendaftaran UNK Negeri 2019, di hotel Hilton, hari ini.

Selain usaha tersebut dibuat untuk memendekkan masa di pertandingan sebenar pada 31 Mei, katanya pra penilaian itu adalah bertujuan untuk mencari sumandak yang betul-betul mengetahui hasil kajian budaya mereka.

Tambahnya pada pusingan kedua dan ketiga juga akan diadakan soal jawab yang mana seperti biasa, pusingan soal jawab pertama, kesemua peserta perlu menjawab dalam bahasa ibunda mereka masing-masing.

“Pada pusingan ketiga iaitu tujuh peserta akhir UNK, mereka akan diberikan soalan yang mana perlu menjawab soalan yang dipilih dengan satu bahasa sahaja antara bahasa ibunda, bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Peserta tidak dibenarkan sama sekali menjawab dengan mencampurkan bahasa lain. Jika mereka mula menjawab dalam bahasa ibunda, peserta perlu habiskan jawapan dalam bahasa tersebut juga.

“Ini adalah salah satu usaha yang mana bukan sahaja mencari UNK 2019 yang mempunyai pengetahuan am, tetapi juga fasih berbahasa ibunda mereka sendiri,” jelasnya.

Sementara itu, Jo-Anna turut menjelaskan bahawa selepas pemenang diumumkan, mereka akan menjadi duta kepada negeri terutamanya dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Jadi, semua ini kami berharap selepas mereka diumumkan sebagai UNK, mereka akan menjadi jurucakap bagi Sabah dalam sektor pelancongan dan kebudayaan melalui pengalaman mereka ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, johan UNK Negeri 2019 akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM18,000, mahkota, selempang, biasiswa pendidikan, produk kecantikan serta tiket penerbangan pergi balik ke Jepun.

Kesemua 64 peserta yang akan bertanding merebut gelaran UNK 2019 adalah Queenelisi Ligadu mewakili Sulaman, Prissca Loana Hendry (Matunggong), Cassandra Devi Jeremiah (Putrajaya), Mastini Lampangau (Pitas), Molina Jokilan (Tempasuk), Sharoiren Wecerley Waling (Inanam), Essmerrellda Cafry @ Clemen (Keningau), Myrion Ezzel Michael (Kunak), Viearupfni Jinis (Karamunting), Arnny Wastey Dagit (Banggi), Petsyera Pitoros (Bongawan), Ellyona Honeychurch Apuk @ Melaun (Tanjong Batu), Fiona Josepher (Penang), Carol Evany Flavianus (Sebatik), Priscilla Gukim (Tanjung Papat), Eva Sarah Charisa Edwyn (Merotai), Wenda Esthell Tisny (Kadamaian), Glory D Yakobos (Senallang), Dewi Perumal Oddiar (Sekong), Carol Abbey Gail Grimaldi (Tanjung Aru), Skye Judith Harding (Tamparuli), Novenda Lady (Membakut), Dona Amylinda Donneysius (Kemabong), Ellvera Ann Pedru (Sindumin), Ernietta Ansou (Kinabatangan), Christine Bartholomew (Lahad Datu), Viezyeci Hebron (Sulabayan), Valentina Day (Labuan), Esther Marius (Likas), Ottilia Avanus Jasri (Sandakan), Conne Juenin (Kundasang), Epiphany Deborah Soipu (Ranau), Francisca Ester Nain (Karambunai), Casthy Modumis (Elopura), Jenniequeen Priscilla Jerome (Luyang), Zay Nardiana Tity Jaimin (Usukan), Catsween Su Sun Ping (Kuamut), Elvira Satebon (Kiulu), Vinny Alvionitta Sasising (Klang Valley), Jellcy Hilarius (Tambunan), Marlina Jali (Tungku), Jassinta John (Balung), Suzayannie Guan Poh (Kuala Penyu), Evian Verolia Ahajis (Melalap), Reznah Edwin (Sook), Angely Chang Siong Peng (Klias), Nurul Yanadido (Tandek), Natalea Raymond (Apas), Elisabet Yakobus (Lumadan), Eva Roger Sebastian (Gum-Gum), Monicka Majin (Nabawan), Favrellyn Manjah (Labuk), Leticia Casianus Bansin (Penampang), Patricia John (Kawang), Audrey John Vivian (Bugaya), Annette Rabecca Januin @ Abdon (Pantai Manis), Georjina Jutaim (Kudat), Cora Waybin (Bingkor), Trenety Anvinda Ngau Apolius (Sugut), Heavenly Yvonne Denis (Putatan), Avrill Elvira Roger Anthony (Kapayan), Wenddy Kukundu (Johor), Allysa Jimeh (Api-Api) dan Ninah Jango (Sri Tanjung).

Pertandingan akhir akan di dewan Hongkod Koisaan, KDCA pada 31 Mei bermula pukul 11 pagi. -SabahNewsToday