Pilih Bahasa

Bajet Negara 2020: Sabah mahu lebih peruntukan bagi pendidikan, jalanraya, air dan kesihatan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengharapkan Belanjawan 2020 dibentangkan esok memberi kelebihan kepada Sabah terutama berkaitan bidang pendidikan, prasarana jalan raya, air serta kesihatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata semua perkara terbabit adalah kemudahan asas yang sentiasa diperlukan rakyat termasuklah di Sabah.

Jaujan (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Secara peribadi, saya lebih menjurus kepada kemudahan asas kerana sekiranya semua infrastruktur ini lengkap, rakyat boleh menjalani kehidupan dengan baik.

“Bagaimanapun, kita berharap bajet berkenaan turut menumpukan bidang atau sektor lain di negeri ini dalam memastikan pembangunan serta ekonomi negeri terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo, dekat sini, hari ini.

Beliau hadir bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Jaujan ketika berucapan sempena Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Turut dilancarkan adalah buku Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu.

Sementara itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menyatakan kementeriannya dalam proses menaiktaraf kawasan setinggan di beberapa daerah untuk diwartakan menjadikan perkampungan.

“Kita sedang melaksanakan perkara ini malah ada beberapa penempatan setinggan sudah diwartakan sebagai kampung.

“Perkara ini sering menjadi rungutan rakyat kerana keluarga mereka berada di kawasan berkenaan sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Jaujan berkata Jabatan Tanah dan Ukur bersama kementerian masih melakukan pemerhatian disebabkan masih banyak perkampungan diduduki sebelum zaman kemerdekaan dan belum diwartakan. -SabahNews Today