Pilih Bahasa

Bakal usahawan perlu terap ilmu asas, jangan syok sendiri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Madius (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil agensi yang menyertai Program Inspirasi NIaga Usahawan Sedco 2018 di Gand Ballroom TH Hotel. – Gambar SNT / Ehsan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian

KOTA KINABALU: Bakal usahawan di negeri ini diingatkan agar `tidak syok sendiri’ dalam perniagaan, sebaliknya mereka perlu melakukan banyak penyelidikan terutama daripada aspek pemasaran sebelum mengeluarkan sesuatu produk itu.

Nasihat itu dilontarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau bagi memastikan produk dihasilkan itu bukan sahaja diterima baik, malah memenuhi kehendak masyarakat khususnya pengguna.

Beliau berkata usahawan tempatan perlu mendapatkan ilmu asas menerusi penyertaan aktif dalam seminar dan program niaga yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.

Madius (tengah) melancarkan Kelab Usahawan Sedco sempena penutupan Program Inspirasi Niaga Usahawan Sedco 2018. – Gambar SNT / Ehsan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian

“Hayati nilai pasaran sebenar bukan keluarkan produk apa yang kita minat semata-mata atau dengan kata lain jangan sebarangan buat produk.

“Kaji dahulu citarasa, buat penyelidikan pemasaran sebanyak mungkin dengan betul sama ada orang akan beli atau tidak, kemudian barulah buat ramuan dan pembuatan sebelum mencari pengedar produk tersebut,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Program Inspirasi Niaga Usahawan Sedco 2018 di sini hari ini.

Program anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) itu turut dihadiri Pembantu Menteri Perdagangan dan Perundustrian Negeri, Azhar Matusin; Pengerusi Sedco, Datuk Dr. Richard Sakian Gunting dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.

Madius berkata bagi meningkatkan usahawan berilmu, kerajaan negeri menerusi Kementerian Perdagangan dan Perindustrian mengorak langkah berkolaborasi dengan Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mewujudkan program Ijazah Keusahawanan bermula tahun depan.

Katanya kerjasama juga diwuujudkan antara agensi-agensi kerajaan dan usahawan sedia ada yang berjaya sebagai rujukan dan inspirasi kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian itu.

Dalam pada itu beliau berkata pertumbuhan ekonomi negeri ini turut bergantung kepada keupayaan usahawan di semua peringkat sama ada mereka berjaya menjana kekayaan itu menerusi nilai hasil tambah yang diperolehi hasil keuntungan perniagaan.

“Jumlah kekayaan bagi Sabah dianggarkan berjumlah RM80 bilion dan apabila kita bahagikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) perkapita dalam USD5,000 per kapita atau lebih kurang RM23,000 itu per kapita bagi negeri Sabah.

“Kalau kita mahu tahu di mana kedudukan kita berbanding dengna nasional, Malaysia hari ini GDP perkapita RM44,000 atau USD10,000. Dengan perbandingan itu, ktia boleh melihat di mana kedudukan kita. Kita lebih kurang separuh dan sebagai perbandingan dengan jiran kita, Sarawak sudah capai RM45,000 per kapita.

“Di sana kita boleh lihat di mana kedudukan kita. Industri pelancongan menjadi penyumbang terbesar ekonomi Sabah iaitu sebanyak RM40, perlombongan (30 peratus) yang sebahagian besar daripadanya datang daripada Petroleum minyak negeri ini. Pertanian pula sebanyak 31 peratus dan sektor pembuatan 7.2 peratus,” katanya. – SabahNewsToday