Pilih Bahasa

Balai Bomba dan Penyelamat Sook mula beroperasi hari ini

KENINGAU, 2 Ogos (Bernama) — Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kecil Sook yang terletak 42 kilometer dari sini yang mula beroperasi hari ini menjadi satu lagi kemudahan penting di kawasan pedalaman.

Majlis Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Sook itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Majlis simbolik penyerahan kunci balai bomba dan penyelamat Sook. Gambar Bernama

Berucap pada majlis itu, Kamarulzaman berkata kewujudan balai bomba baharu itu yang bernilai RM4.452 juta sebagai satu signifikan kepada penduduk di daerah itu.

Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan itu adalah hadiah istimewa bagi memastikan kehidupan masyarakat di daerah berkenaan berada di tahap yang meyakinkan, pada ketika Sook sebelum ini diletakkan sebagai penyumbang 30 peratus kes kebakaran di Keningau.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berterima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan yang telah memberi perhatian dan mewujudkan balai ini.

“Kemudahan ini menjamin keselamatan penduduk sejajar dengan pembangunan di kawasan ini (Sook),” katanya.

Bangunan Balai Bomba dan Penyelamat itu yang pembinaannya bermula pada 24 Dis 2016 dan siap sepenuhnya pada 19 April lepas dibina di atas tapak seluas satu hektar dengan kemudahan satu unit balai bomba, empat unit kuarters, satu unit surau dan satu unit utiliti.

Seramai 31 pegawai dan kakitangan ditempatkan di Balai Bomba itu yang menyaksikan kakitangan bawahan terdiri daripada 100 peratus anak jati daerah kecil Sook.

Kamarulzaman berkata, objektif pembinaan bangunan itu ialah untuk menyediakan keperluan ameniti sosial yang lengkap bagi kemudahan masyarakat setempat khasnya kepada penduduk luar bandar negeri ini.

“Harapan kita ialah dengan kewujudan balai ini respond time bomba di negeri ini (Sabah) akan bertambah baik,” katanya dan memberitahu balai bomba terdekat sebelum ini terletak di pusat bandar Keningau yang mengambil masa 30 minit perjalanan.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Kamarulzaman berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM4.4 juta lagi untuk membina sebuah bangunan Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Nabawan.

Bangunan, yang bersaiz sama dengan balai bomba di Sook, kini di peringkat proses rekabentuk dan pembinaannya dijangka bermula awal tahun 2020.

— BERNAMA