Pilih Bahasa

Balu mangsa bunuh terima rumah kediaman baharu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengotakan janji untuk membantu seorang balu menyiapkan rumah baharunya di Kampung Titingan di sini.

Sunarti Ismail, 39, terpaksa menyara hidup tujuh anak termasuk seorang anak angkat berusia tujuh bulan hingga 13 tahun selepas suaminya, Jaafar Jalman, 49 ditemui mati di dalam longkang, dekat sini, dengan kesan tikaman di bahagian dada dan tengkuk, 10 Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (berdiri, kiri) menyerahkan replika kunci rumah kepada balu Allahyarham Jaafar Jalman, di kediaman baharu mereka, di Kampung Titingan Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya, suaminya sebelum ini memiliki hasrat untuk membina rumah berkenaan demi keselesaan anak-anak namun hasratnya tidak kesampaian selepas tragedi itu berlaku.

Atas ihsan daripada Adun Apas, rumah berkenaan berjaya disiapkan dan hanya perlu melengkapkan elektrik, air dan kelengkapan rumah sebelum diduduki.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Adun Apas kerana meneruskan hasrat suami saya membina rumah berkenaan yang sudah diimpikan sejak sembilan bulan lalu.

Rumah yang menjadi hasrat mangsa bunuh, Jaafar Jalman berjaya disiapkan sepenuhnya hasil bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Jika semua kelengkapan rumah termasuk elektrik dan air sudah tersedia, saya akan membawa anak-anak tinggal di rumah ini,” katanya ketika ditemui di tapak rumah baharunya, di Kampung Titingan, dekat sini tadi.

Sementara itu, Nizam yang turut hadir di lokasi tadi turut mengharapkan isteri mangsa dapat menerima sumbangan berkenaan dan meneruskan hidup bersama anak-anaknya di rumah baharu itu.

“Baru-baru ini saya ada berkunjung ke rumah mangsa dan berjanji untuk membantu menyiapkan rumah yang menjadi hasrat mangsa sejak sembilan bulan lalu. Alhamdulillah rumah ini dapat disiapkan.

“Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban mereka. Saya harap mereka terus tabah dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Allahyarham Jaafar meninggalkan tujuh anak Mohamad Muizz Aiman Jaafar, 13, Mohamad Lukman Iskandar Jaafar, 11, Mohamad Adi Rahmat Jaafar, 9, Nur Asharfia Shawani Jaafar, 6, Rabiyatul Adawiyah Jaafar, 4, Nur Shamimi Jaafar, 11 bulan dan seorang anak angkat Siti Syuhada Mohd Sasali, 11. – SabahNewsToday