Pilih Bahasa

‘BAMBORNEO’ JUARA BOLEH BAH FILEM KITA

Oleh Alfred Petrus

Cornelius Sidek yang menghasilkan BamBorneo menunjukkan hadiah dan trofi kemenangan. Gambar SNT/Ehsan BEFF

KOTA KINABALU: Pertandingan filem pendek 60 saat Boleh Bah Filem Kita (BBFK) melabuhkan tirainya dengan kemenangan oleh ‘BamBorneo’ baru-baru ini.

‘BamBorneo’ yang dihasilkan oleh Cornelius Sidekly mengalahkan 34 peserta lain dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 berserta trofi.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Mohd Afiq Danial dengan tajuk karya ‘Perjalanan Kejayaanku’ dan ‘Kerana Pisang’ oleh Max Brandon Jepson.

Dari kiri: Mohd Afiq, Cornelius dan Max Brandon merakamkan gambar kenangan selepas diumumkan sebagai tiga karya terbaik pada pertandingan Boleh Bah Filem Kita. Gambar SNT/Ehsan BEFF

Mohd Afiq membawa pulang RM2,000, manakala Max menerima RM1,000 berserta trofi.

Dalam peringkat akhir pertandingan tersebut, sebanyak 15 karya terbaik disenarai pendek untuk merebut tiga hadiah utama.

Kesemua 15 filem pendek tersebut turut ditayangkan pada malam penganugerahan BBFK tersebut.

Pertandingan filem pendek yang dianjurkan sempena Festival Eco-Film Borneo (BEFF) dibuka kepada pelajar sekolah menengah (Tingkatan Empat, Lima dan Enam) serta pelajar institut pengajian tinggi.

Lembaga Pengarah BEFF Dinoza Mahruf berkata para peserta dikehendaki menyediakan filem berdurasi satu minit dengan empat tema yang telah ditentukan oleh penganjur.

“Antaranya adalah Ocean: In awe of the sea, Plastics: Reducing our plastic waste, Food: Say no to food waste, dan Children: Today’s voice, tomorrow’s leaders.

“Setiap tahun, tema BBFK menyentuh isu-isu alam sekitar dan pada tahun ini, penganjur telah menambah tema ‘kanak-kanak’ dengan menganggotai perkongsian mereka dengan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef)-Malaysia,” katanya.

Tambahnya BEFF sentiasa berusaha keras bagi mewujudkan platform untuk menggalakkan pembikin filem tempatan untuk berkongsi inspirasi dan cerita mereka melalui visual kreatif.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencipta filem pendek hanya dengan menggunakan telefon pintar dan platform media sosial.

“Kami menggalakkan mereka yang berminat untuk menggunakan teknologi terkini dalam menceritakan kisah mereka sekreatif yang mungkin.

“Dan sudah pasti saya berharap lebih banyak penyertaan akan dihantar untuk edisi seterusnya dalam pertandingan ini,” jelasnya. -SabahNewsToday