Pilih Bahasa

Bancian 12,000 syarikat seluruh Sabah ukur sumbangan sektor borong dan runcit

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah sedang melaksanakan Banci Perdagangan Borong dan Runcit (WRC) terhadap 12,000 syarikat atau perniagaan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, 1,913 syarikat di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Kalabakan kini dalam proses bancian fasa ketiga yang akan berakhir pada September ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata (dua dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah, Norhayati Jantan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pengarahnya, Norhayati Jantan berkata bancian ini dilakukan bagi mengukur sumbangan perdagangan borong dan runcit kepada ekonomi negara.

“Selain itu, kita juga kini dalam usaha mengemaskini stok rangka dan profil subsektor dimana kita akan menjalankan bancian diperingkat kecil-kecilan seperti pejabat-pejabat operasi setiap daerah.

“Saya amat mengharapkan supaya borang bancian yang diberikan kepada pemilik perniagaan dapat dikembalikan dalam masa terdekat ini untuk memudahkan pihak kami mendapatkan keputusan bancian yang tepat dan pantas,” katanya ketika ditemui dalam Sesi Interaktif Bersama Responden WRC, di sebuah hotel, dekat sini tadi.

Dalam program itu, seramai 80 wakil pegawai daripada 53 syarikat di Sabah hadir mendengar sesi interaktif sekaligus menyuarakan persoalan-persoalan berhubung program bancian berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai ditemui media selepas merasmikan Sesi Interaktif Bersama Responden WRC, di sebuah hotel, di Tawau. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai, Sarifuddin Hata yang merasmikan program berkenaan berharap supaya data-data yang dikumpul dapat membantu dalam merancang sesuatu yang baharu dan positif kepada Sabah.

“Sektor perkhidmatan adalah sektor yang paling banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini. Ia berkemungkinan disebabkan ekonomi digital yang ada sekarang yang membantu pertumbuhan berkenaan.

“Kami daripada Kerajaan Negeri mengharapkan JPM Sabah dapat memperoleh data yang tepat dan telus untuk kita merancang dengan lebih baik ekonomi di Sabah,” jelasnya. –SabahNewsToday