Pilih Bahasa

Bangun awal demi Hari kebangsaan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Amyllah (kanan) bersama anak serta rakan-rakannya mengenakan tudung motif Bendera Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Walaupun terpaksa bangun seawal 4.30 pagi namun ia bukan halangan buat salah seorang pengunjung sambutan Hari kebangsaan peringkat negeri Sabah untuk memeriahkan hari bermakna itu bersama keluarga serta rakan-rakan.

Amyllah Arullah, 37, berkata dia menyiapkan anak-anaknya lebih awal disebabkan tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya berikutan beberapa jalan ditutup bagi memberi laluan kepada sambutan berkenaan.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu berkata dirinya secara peribadi hampir setiap tahun tidak pernah mahu ketinggalan melihat sendiri sambutan Hari Kebangsaan namun kali ini sedikit berbeza kerana turut sama membawa anak-anaknya agar dapat menyaksikan sendiri secara lebih dekat.

“Saya mahu mereka melihat sambutan ini dibuat selain anak-anak berpeluang lihat pakaian serta aset negara yang ada bagi setiap unit beruniform.

“Ia secara tidak langsung boleh membuatkan mereka kagum dan teruja untuk bercita-cita sama seperti perajurit kita.

“Selain itu, saya juga mahu anak-anak faham maksud Hari Kebangsaan sebenar dan memberitahu mereka yang negara kita masih aman selain menunjukkan siapa golongan sudah banyak berkorban demi keselesaan dikecapi kini,” katanya yang hadir bersama beberapa rakannya.

Amyllah Arullah. – Gambar SNT/Mohd Nazlie Zainul

Dalam pada itu, Amyllah berkata dia dengan rakan-rakan wanita lain turut memakai tudung bermotifkan jalur gemilang sempena hari penuh bermakna buat rakyat Malaysia itu.

Berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens lebih 10,000 pengunjung membanjiri persekitaran tapak sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah 2019.

Acara penuh berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal dan Isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta menteri Kabinet.

Betty Jones. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, pengunjung warga Australia, Betty Jones, 70, begitu teruja melihat buat julung kali sambutan seumpama itu.

“Bagaimanapun, saya sedikit kecewa kerana tidak menonton sejak awal disebabkan lewat hadir berikutan kekurangan infomasi tentang majlis ini.

“Saya suka melihat keakraban serta kepelbagaian kaum dan etnik di negeri ini. Ia sangat berwarna-warni sehingga membuatkan diri mahu terus menetap di sini,” katanya yang sudah 12 hari melancong di Sabah bersama seorang lagi temannya. – SabahNews Today