Pilih Bahasa

Bangunan kedai dan stor barangan elektrik musnah

Oleh Junaidi Ladjana

Keadaan bangunan kedai dan stor barangan elektrik yang terbakar. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Bangunan kedai dan stor barangan elektrik di Jalan Tuaran, dekat pasar raya Bataras Kolombong di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Kebakaran itu disedari oleh pemilik kedai terbabit selepas dimaklumkan oleh seorang pekerja bengkel bersebelahan, kira-kira pukul 3.30 petang.

Pemilik kedai berkenaan, Johnson Chaw, 45, berkata sebelum kejadian dia bersama enam pekerjanya berada di dalam kedai dan hanya menyedari kebakaran selepas seorang pekerja kedai memaklumkan terdapat api di bahagian belakang stor.

“Saya dengan dibantu pekerja bergegas ke stor untuk memadam api menggunakan alat pemadam api dan air paip namun keadaan api semakin marak.

“Kami tidak dapat memadan api lalu bertindak keluar menyelamatkan diri. Tidak lama selepas itu sepasukan bomba tiba membantu memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Anggota bomba memadam api daripada merebak. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Menurutnya, seorang pekerja bengkel yang membantu memadam kebakaran cedera akibat terkena api di bahagian lengan kanannya.

“Lelaki itu kemudian menerima rawatan awal oleh pasukan bomba dan lengan kanannya luka akibat melecur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon I Kota Kinabalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada pukul 3.36 petang.

Anggota bomba bertungkus lumus memadam api dalam kebakaran menbabitkan bangunan kedai dan stor barangan elektrik. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Katanya seramai 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lintas dan BBP Kota Kinabalu bersama empat jentera termasuk dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman.

“Kebakaran membabitkan bangunan kedai dan stor barangan elektrik dan sebaik tiba bangunan itu sudah terbakar dan operasi memadamkan segera dilakukan.

“Kita mengambil masa sejam bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dapat dikawal pukul 4.15 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Anggota bomba memberi rawatan kepada lelaki yang cedera akibat melecur selepas cuba memadam api dalam kebakaran membabitkan bangunan kedai dan stor barangan elektrik. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Hamsa berkata usaha memadamkan kebakaran menghadapi kesukaran berikutan pili bomba yang terletak berhampiran bangunan itu tiada air.

“Bagaimanapun dua jentera tangki air dengan muatan 20,000 liter air bagi setiap satu tangki berjaya mengawal api daripada merebak.

“Terdapat dua bengkel dan sebuah kilang berhampiran yang hanya dipisahkan oleh zink namun kita berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan. – SabahNewsToday