Pilih Bahasa

Bangunkan program sosio-ekonomi, basmi kemiskinan luar bandar

Oleh Alfred Petrus

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan berhasrat meningkatkan lagi taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan sekaligus membasmi kemiskinan negeri.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata pelbagai program pembangunan sosio ekonomi akan terus dilaksanakan melalui program Mini Estet Sejahtera (Mesej), Agropolitan dan sebagainya. 

“Kerajaan akan meneruskan Program Kampung Sejahtera (PKS) untuk membangunkan kampung-kampung yang memerlukan pembangunan secara holistik merangkumi modal insan, sosio-ekonomi dan infrastruktur asas. 

“Tahun ini kerajaan telah menetapkan sasaran untuk melibatkan seramai 2,500 ketua isi rumah dalam program Mesej dengan tambahan satu program baharu berkaitan dengan aktiviti pelancongan luar bandar melalui pelancongan berasaskan komuniti di kampung-kampung terpilih.

“Di samping itu kerajaan juga telah merancang untuk membina 1,000 buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan 10 buah pusat komuniti setiap tahun sehingga 2023 untuk kemudahan masyarakat luar bandar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Jelasnya pada masa yang sama, kursus dan latihan kemahiran akan diberikan kepada masyarakat di luar bandar untuk melahirkan lebih ramai usahawan desa di negeri ini.

Tun Juhar juga menekankan bahawa kerajaan komited untuk meningkatkan kualtiti pendidikan bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berpendidikan tinggi. 

Katanya tumpuan utama kerajaan adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar.

“Antara usaha yang akan dilaksanakan kerajaan termasuklah pembinaan dan penambahbaikan sekolah khususnya sekolah-sekolah daif, peningkatan liputan internet ke sekolah-sekolah dan penyediaan kelengkapan serta fasiliti pendidikan yang mencukupi. 

“Kerajaan akan meneruskan tawaran biasiswa dan bantuan pendidikan kepada para pelajar di negeri ini. 

“Bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah, kerajaan telah menyediakan 20 peratus kuota penawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada pemohon yang cemerlang dari kelompok keluarga B40,” tambahnya.

Menurutnya kerajaan telah mengambil inisiatif mewujudkan Pangkalan Data Pelajar bagi memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada menerima biasiswa, dermasiswa dan pinjaman. – SabahNewsToday