Pilih Bahasa

Banjir: 20 orang dipindahkan ke SK Pamol

Keadaan banjir di Talungan Pamol. Gambar Bernama

SANDAKAN, 17 Jan (Bernama) — Seramai 20 penduduk, termasuk enam kanak-kanak, dari Kampung Talungan Pamol, Beluran dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pamol, kira-kira 239 km dari sini, setelah banjir akibat hujan lebat semalam.

Ketua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata pihaknya telah memasuki kampung itu kira-kira 7.30 pagi tadi untuk membantu mengeluarkan mangsa, khususnya yang tinggal berdekatan sungai.

“Pukul 12.30 tengah hari tadi, pihak APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah memasuki kampung berkenaan bagi meninjau keadaan dan mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap.

“Kami menjangkakan operasi akan tamat dalam tempoh terdekat memandangkan paras air semakin surut dan cuaca semakin baik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Ahmad Roslan berkata pihaknya bersama agensi berkaitan akan sentiasa memantau keadaan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah Mistrine Radin berkata proses pengajaran dan pembelajaran di SK Pamol tidak terjejas biarpun tiga bilik darjah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir.

— BERNAMA