Pilih Bahasa

Banjir: 54 keluarga dari tiga kampung di Beluran terperangkap

Antara mangsa banjir di Beluran. Gambar Bernama

SANDAKAN, 17 Jan (Bernama) – Sebanyak 54 keluarga dari tiga kampung di Beluran dikesan petang ini terperangkap akibat banjir susulan hujan lebat semalam.

Ketua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata daripada jumlah itu, 22 keluarga di Kampung Monsogit, 28 keluarga di Kampung Dorom-Dorom dan empat keluarga di Kampung Basinti Baru.

“Hasil tinjauan APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah petang ini, kami akan memulakan operasi penghantaran bekalan makanan kepada mangsa terperangkap di dalam rumah mulai pagi esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ahmad Roslan menjelaskan mangsa tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara walaupun terperangkap di dalam rumah kerana rumah mereka didapati selamat untuk berlindung, bagaimanapun semua jalan tidak dapat dilalui akibat dinaiki air.

— BERNAMA