Pilih Bahasa

BANJIR DI KOTA MARUDU, 118 PENDUDUK DIPINDAHKAN

Oleh Mohd Adam Arinin

Anggota bomba membantu seorang kanak-kanak dalam operasi pemindahan banjir di Kota Marudu. – Gambar SNT / Ehsan Bomba

KOTA MARUDU: Seramai 118 mangsa banjir daripada 33 buah keluarga di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas kawasan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam.

Daripada jumlah mangsa tersebut seramai 29 adalah lelaki, wanita (32), kanak-kanak (39) serta tujuh bayi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, semua mangsa telah dipindahkan ke Dewan Kampung Longob, Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Dewan Kampung Mosolog dan Dewan Kampung Morion.

”Antara perkampungan yang terjejas adalah Kampung Longob, Belianjung, Mosolog, Maragatung, Salimandut, Damai, Parong, Popok Laut, Gurantung, Garada, Morion dan Teritipan.

Kelihatan seorang anggota bomba membantu kanak-kanak dalam operasi pemindahan banjir di Kota Marudu. – Gambar SNT / Ehsan JBPM

“Hujan yang berterusan turut menyebabkan Jalan Gana di Kilometer 5.7 terputus untuk semua jenis kenderaan,” jelas bomba lagi.

Hasil pemantauan yang dijalankan, bomba berkata paras air Sungai Bongon dan Sungai Belianjung kini diletakkan pada amaran waspada selepas ia mencecahkan sehingga 6.9 meter setakat jam 8 pagi tadi.

Bagaimanapun, paras air di Sungai Bandau dan Sungai Tandek dilaporkan masih berada pada tahap normal dan pemantauan diteruskan dari semasa ke semasa. 

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya juga masih meneruskan pemantauan di beberapa lokasi terjejas dan berisiko berikutan amaran cuaca waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri ini antaranya Tambunan, Ranau, Kota Belud, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat dan Kota Marudu,” -SabahNewsToday