Pilih Bahasa

Bantu atasi pengangguran belia terus jadi agenda utama kerajaan PH: Syed Saddiq

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Syed Saddiq (empat dari kiri) menyampaikan jersi kepada pemain bola sepak Saga Nabawan dalam majlis Semarak Aidilfitri dan Sambutan Kaamatan Pemuda Pakatan Harapan Sabah 2019. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan merancang untuk memperkenalkan dasar insentif pendapatan bagi membantu golongan belia menganggur agar majikan dapat mengambil mereka bekerja.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dasar itu yang disasarkan untuk membantu agar lebih ramai anak muda diambil bekerja diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran  belia di negara ini.

“Ada cadangan untuk memperkenalkan dasar insentif pendapatan bagi majikan yang mengambil belia menganggur bekerja dengan kerajaan menampung setengah daripada kos itu.

“Sekarang terdapat 500,000 penganggur anak muda iaitu 200,000 lulusan diploma dan ijazah manakala 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), justeru kita nak lakukan banyak perkara bagi membantu mereka.

“Begitupun pun dalam masa sama kerajaan juga memerlukan kestabilan politik dan ekonomi untuk menjayakan dasar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Semarak Aidilfitri dan Sambutan Kaamatan Pemuda Pakatan Harapan Sabah 2019 di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majilis itu ialah Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda PH Sabah, Raymond Ahuar dan Ketua Pemudah Amanah Negara, Sanny Hamzah.

Ditanya mengenai usaha mengatasi isu pengangguran belia di negara ini, Syed Saddiq berkata kerajaan akan menambahbaik sistem pendidikan iaitu menjadikan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet) teras pendidikan negara.

“Di bawah kementerian saya terdapat sebanyak 22 institusi Tvet dan kadar pengangguran graduan Tvet sangat rendah iaitu bawah enam peratus iaitu 96 peratus telah mendapat peluang pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya. – SabahNewsToday