Pilih Bahasa

BANTU KEPERLUAN PESAKIT KANSER PAYUDARA

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Toh Puan Norlidah (tengah) bersama Nancy (kanan) serta ahli jawatankuasa bergambar kenangan. – Gambar SNT /Ehsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Bagi membantu keperluan pesakit kanser payudara, Persatuan Sokongan Kanser Payudara Kota Kinabalu (Kinabalu Pink Ribbon) memohon sumbangan orang ramai untuk meringankan beban ditanggung pesakit terutama yang kurang berkemampuan.

Presidennya, Nancy Tham berkata, sumbangan itu nanti akan membolehkan pesakit diberikan baju dalam khas POST-OP kepada mereka yang telah menjalani pembedahan mastektomi untuk mengembalikan keyakinan diri serta harga diri pesakit.

“Itu adalah tujuan kami dan diharapkan lebih banyak sumbangan daripada orang ramai untuk menyokong usaha Kinabalu Pink Ribbon mengumpulkan dana bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk membiayai perbelanjaan pesakit tersebut,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Negeri, di sini hari ini.

Toh Puan Norlidah (enam dari kiri) menerima cenderahati daripada Nancy (enam dari kanan). – Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan

Mengenai kunjungan itu, Nancy berkata, pihaknya ingin memaklumkan kepada Toh Puan Norlidah mengenai perancangan aktiviti-aktiviti Kinabalu Pink Ribbon sepanjang bulan Ogos ini.

Katanya, antaranya aktiviti tersebut ialah ceramah kesedaran yang akan diadakan di San Damiano Hostel, Kiulu pada 4 Ogos nanti.

“Selain itu, satu program outreach pula akan diadakan di Kampung Patikang Ulu, Keningau pada 31 Ogos yang melibatkan kampung-kampung sekitar seperti Kampung Agudon, Patikang Laut dan Muhibbah.

“Program tersebut turut mendapat kerjasama bersama Klinik Payudara, Hospital Queen Elizabeth II dan Persatuan Perancang Keluarga Sabah,” katanya.-SabahNewsToday