Pilih Bahasa

BANTU PIHAK BERKUASA PERANGI JENAYAH, DADAH, PPDJS SEDIA HADAPI APA SAHAJA

Oleh Chris Maskilone

TENOM: Pertubuhan Pencegahan Dadah Jenayah Sabah (PPDJS) sudah bersedia menghadapi apa sahaja demi membantu pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan jenayah mahupun penyalahgunaan dadah, kata Pengerusinya Jofri bin Ebrahim.

Beliau berkata, meskipun imbuhan atau bayaran bukan persoalan pokok namun perjuangan untuk membantu pihak kerajaan dan penguatkuasa adalah menjadi keutamaan, malah ianya merupakan tanggungjawab bersama semua untuk membanteras penularan penyakit masyarakat.

“Kita bimbang kerana statistik penularannya semakin menjadi jadi … dan kita tidak boleh berpeluk tubuh dan menyandarkan tanggungjawab pembanterasan ini kepada pihak berkuasa kerana kita sedar bahawa jangkitan penyakit ini semakin membesar.

Jofri Ebrahim. Gambar Fail SNT

“Sebagai masyarakat prihatin, kita harus bangkit dan turut serta didalam NGO ini. Walaupun NGO ini tidak berupaya melawan dengan cara kekerasan namun kita mengambil peranan melalui bidang lain seperti memberi kesedaran dengan mengadakan ceramah motivasi serta penerangan tentang bahayanya dadah kepada masyarakat.

“Kita juga telah menggariskan beberapa perkara matlamat penubuhan PPDJS antaranya, kerjasama dengan agensi kerajaan, NGO lain dan agensi penguatkuasaan undang undang selain menganjur kursus pendidikan akhlak, kebudayaan, sosial, kebajikan dan moral,” katanya.

Jofri berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada penduduk Kampung Bamban berhubung matlamat PPDJS di Rumah Kebudayaan Kampung Bamban yang dihadiri kira kira 100 orang dan turut dihadiri Pengerusi PIBG SK Bamban, Hailly Jamihiu.

Penduduk Kampung Bamban mendengar ceramah tentang bahaya dadah kepada masyarakat dalam program anjuran PPDJS di Tenom. Gambar SNT/Ehsan PPDJS

Selain itu, Jofri menjelaskan bahawa PPDJS juga telah melantik beberapa individu yang bersedia menyahut perjuangan NGO itu untuk melaksanakan misi tersebut di kawasan Pedalaman secara sukarela.

Menurut Jofri, aktiviti PPDJS telah pun dimaklumkan terlebih dahulu kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah merangkap Adun Melalap Datuk Peter Anthony di pejabatnya di Kota Kinabalu, Penolong Pegawai Daerah Tenom Clarence Puin Pinduruh, dan Pemangku OCPD Tenom ASP Ahmad Razali.-SabahNewsToday