Pilih Bahasa

Bantu polis cari Nur Anissyah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya, di Kampung PPRT Peringkat 2, dekat sini, sejak 18 hari lalu.

Nur Anissyah Abdullah, 16, meminta kebenaran daripada ibunya untuk ke bandar Lahad Datu pada pukul 9 pagi, 10 Jun lalu, namun tidak balik ke rumah hingga kini.

Nur Anissyah Abdullah. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Bimbang dengan keadaan anaknya, Ibu mangsa Elyna Umar, 35, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kali terakhir ibu mangsa menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp daripada mangsa.

“Dalam pesanan berkenaan, anak mangsa memberitahu supaya ibunya jangan risau tentang keadaannya.

“Ibu mangsa percaya anaknya mengikut rakan sebayanya yang lain namun ibunya tidak mengetahui rakan terdekat anaknya ekoran sebelum ini mangsa hanya dijaga oleh neneknya manakala ibu mangsa bekerja di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata ibu mangsa sudah berusaha mencari anaknya namun gagal sebelum bertindak membuat laporan polis.

“Saya memohon jasa baik orang awam untuk membantu memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi balai yang terdekat,” katanya. – SabahNewsToday