Pilih Bahasa

BANTU RAKYAT SUSAH, 38 ADUN KERAJAAN TERIMA GERAN RM100,000

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing menerima geran sejumlah RM100,000 untuk membantu rakyat mengalami kesusahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing.

Stephen (depan tengah) bergambar bersama Adun-Adun yang menerima surat Aku Janji tersebut. Gambar SNT/Alfred Petrus

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata peruntukan kewangan itu akan dimasukkan terus kepada akaun bank Adun setelah surat Aku Janji ditandatangani.

Tambahnya bagi memastikan pengagihan bantuan ini tepat kepada kumpulan sasarnya, beberapa kriteria harus diambil kira atau dipatuhi.

“Pertama, jenis dan kadar Bantuan Khas Bagi Orang Susah ditetapkan sejumlah RM200 bagi kes mangsa bencana atau kemalangan, kematian, terdampar.

“Manakala, kes pesakit kronik dan membaiki rumah akibat bencana alam, kadar bantuan adalah RM500.

“Bagaimanapun, Adun-adun juga boleh meluluskan apa juga jenis kadar bantuan yang difikirkan munasabah dan berpatutan tetapi hendaklah tidak melebihi siling kadar yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Aku Janji Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019 di pejabatnya pada Selasa.

Katanya pemohon hendaklah seorang warganegara Malaysia bermastautin di Sabah dan didapati kurang atau tidak berkemampuan.

Jelasnya keutamaan juga diberikan kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

“Adun-adun yang berhormat juga bebas atas kebijaksanaan serta budi bicara meluluskan permohonan yang difikirkan munasabah dan berpatutan yang berkaitan dengan kebajikan dan mereka yang ditimpa musibah.

“Semua permohonan perlu didaftarkan dan disiasat oleh Adun dengan menggunakan perkhidmatan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di bawah kawasan masing-masing dan menggunakan borang khas untuk butiran penerima.

“Ahli-ahli yang berhormat akan membuat keputusan ke atas semua permohonan. Satu buku rekod mendaftarkan permohonan dan keputusan hendaklah disediakan,” jelasnya.

Stephen juga berkata dengan menggunakan khidmat Pejabat UPPM di bawah kawasan masing-masing, laporan perbelanjaan bantuan ini hendaklah disediakan setiap tiga bulan sekali melalui borang khas dan borang akuan penerima bantuan.

Menurutnya Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am juga diminta melaporkan kemajuan perbelanjaan tersebut kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar setiap enam bulan sekali.

“Adalah diharapkan dengan adanya bantuan seperti ini maka ianya akan dapat membantu meringankan beban rakyat serta meningkatkan ekspektasi rakyat kepada wakil-wakil rakyat melalui bantuan serta perhatian yang diberikan seperti ini.

“Dalam masa yang sama, ianya turut membantu kementerian dan juga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dari peringkat akar umbi,” katanya. -SabahNewsToday

-Tamat