Pilih Bahasa

Bantuan air serta-merta untuk 1,300 penghuni kuarters perguruan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Hampir 1,300 penghuni Kuarters Perguruan di Sukang Mabpai, Bukit Padang akan mendapat bantuan bekalan air kecemasan serta merta.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony hari ini mengarahkan Jabatan Air untuk menghantar 15,000 gelen bagi membantu penghuni yang mengalami masalah air sejak 17 hari lalu.

Peter melihat paip utama yang dipotong Jabatan Air 17 hari lalu di kuarters perguruan Bukit Padang. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Saya mengarahkan Jabatan Air untuk menghantar air dengan serta merta sehingga konsultan dilantik untuk cari kaedah bayaran dan cara mengatasi masalah di sini,” katanya.

Peter berkata demikian selepas melawat kuarters tersebut hari ini.

Beliau diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Air Ir Amarjit Singh bahawa bekalan air ke kuarters berkenaan telah diberhentikan selama 17 hari.

Pemotongan bekalan air ke kuarters tersebut dibuat memandangkan bil air tertunggak telah melambung kepada RM700,000 sejak 2017.

“Saya tidak percaya bahawa dalam masa 10 hari bil air boleh mencecah RM18,000. Ini bermakna mesti ada masalah kebocoran paip dalaman,” katanya.

Peter bersama Amarjit dan wakil penghuni kuarters memeriksa tangki yang digunakan oleh penghuni. Gambar SNT/Chris Maskilone

Sepatutnya masalah tersebut diselesaikan oleh Kerajaan persekutuan memandangkan bangunan tersebut adalah kepunyaan persekutuan, katanya.

Peter berkata ini merupakan satu petanda supaya Kerajaan persekutuan memikirkan secara serius untuk menurunkan kuasa kepada Kerajaan negeri bagi memantau dan menyelenggara bangunan supaya apa jua masalah dapat ditangani dengan segera.

Mengenai tunggakan RM700,000, beliau berkata ianya akan dibincangkan dengan kerajaan persekutuan.-SabahNewsToday