Pilih Bahasa

Bantuan bersesuaian bantu golongan nelayan serta pekebun kecil kelapa sawit dan getah di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Perikanan Sabah bakal mencadangkan program bantuan bersesuaian dalam usaha membantu nelayan meningkatkan hasil pendapatan di kawasan Sungai Kolapis, Bantun serta Bukit Besi.

Pembantu Menteri Pertani dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof berkata pendekatan itu disebabkan semua sungai berkenaan kini dalam keadaan cetek dan sempit bagi laluan bot-bot untuk ke kawasan hulu.

Daud berkata sehubungan itu sungai-sungai terbabit tidak sesuai untuk penempatan tukun tiruan.

“Antara program bantuan lain yang dilihat bersesuaian termasuklah bantuan pemprosesan produk perikanan, enjin sangkut, bot dan peralatan menangkap ikan untuk membantu golongan nelayan meningkatkan hasil pendapatan di kawasan berkenaan.

“Selain itu, pihak Kementerian Industri Utama (MPI) mencadangkan agar pekebun kelapa sawit melaksanakan penanaman integrasi ternakan sawit di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dalam usaha mengurangkan pergantungan pekebun kecil kepada hasil sawir sebagai sumber pendapatan mereka, terutama ketika harga komoditi ini rendah.

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber secara optimum. Langkah memaksimumkan penggunaan tanah ini dapat menjana pendapatan awal yang lumayan kepada pekebun kecil sekiranya dilaksanakan secara sistematik,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke 15, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Rahman Kongkawang (PBS-Labuk) berkaitan samaada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah bercadang menjadikan beberapa batang anak sungai seperti Sungai Kolapis, Sungai Bantun dan  Sungai Bukit Besi dalam program tukun tiruan selain langkah kerajaan dalam menangani sumber pendapatan pekebun kecil kelapa sawit dan getah.

Dalam pada itu, Daud berkata kerajaan menerusi Lembaga Industri Getah Sabah sudah melaksanakan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan kepada pekebun kecil getah bagi memberikan sumber pendapatan tambahan untuk golongan terbabit.

Menurut beliau, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM3 juta bagi melaksanakan projek berkenaan patahun 2018 yang melibatkan 542 pekebun kecil getah di seluruh negeri untuk tiga jenis projek iaitu penanaman lada hitam, halia dan penternakan kelulut madu.

“Sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan kerajaan persekutuan bagi projek sama tahun ini untuk penglibatan 1,814 pekebun kecil seluruh Sabah membabit empat projek seperti penanaman lada hitam, halia, penternakan kelulut madu dan penanaman buah-buahan.

“Setiap peserta projek ini dijangka akan memperoleh tambahan pendapatan sekurang-kurangnya RM250 sebulan,” katanya. -SabahNews Today