Pilih Bahasa

BANTUAN KEPADA RAKYAT TANPA KIRA FAHAMAN POLITIK: ARIFIN

Oleh Zakaria Damit

Arifin dalam program Santuni Rakyat di kawasan beliau. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Sekong

SEKONG: Kerajaan akan sentiasa menyalurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira latar belakang politik mereka.

Arifin bertemu dengan rakyat di kawasan beliau. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Sekong

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali berkata sumbangan itu dikhususkan kepada ibu tunggal, warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dilakukan sepanjang masa tanpa terhad kepada tempoh masa tertentu sahaja.

Katanya program menjejak masyarakat yang kurang berkemampuan terus pergiatkan serta dipertingkatkan agar masalah seumpama ini dapat diselesaikan secara berperingkat-peringkat.

“Ini pendekatan yang kita gunakan. Sentiasa turun ke peringkat akar umbi, untuk menjejak serta melihat apa bentuk bantuan yang boleh disalurkan tanpa memerlukan masa lama untuk menerima bantuan mereka.

Arifin bersalaman sambil bertanya khabar penduduk Kampung London serta Lupak Meluas di Dun Sekong. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Sekong

“Kita juga sudah menyiapkan rekod bancian dikhususkan kepada golongan sasar yang dilihat sangat membantu dalam usaha menyalurkan bantuan tanpa mengira fahaman politik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sabahnewstoday.com ketika melakukan lawatan kerja sempena Program Santuni Rakyat di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekong, di sini kelmarin.

Arifin meninjau kawasan beliau. Gambar SNT/Ehsan Pejabat Adun Sekong

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (Adun) Sekong berkata, kerjasama daripada penduduk setempat dalam menyalurkan maklumat sangat diperlukan agar bantuan disalurkan sampai kepada penerima.

“Selepas menerima maklumat, kita akan menggerakkan pegawai serta kakitangan kita untuk melakukan tinjauan bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan agar penerima tidak menunggu masa yang lama untuk menerimanya,” katanya.

Arifin menambah, masalah infrastruktur serta kemudahan asas akan menjadi tumpuan utamanya untuk memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan tersebut dalam tempoh terdekat.-SabahNewsToday