Pilih Bahasa

Bantuan kewangan khas bagi petugas media Sabah tepat pada masanya; SJA ucap terima kasih kepada K’jaan Sabah

KOTA KINABALU: Pemberian bantuan kewangan khas Kerajaan Negeri secara one-off kepada para petugas media di Sabah dilihat sebagai tepat pada masanya memandangkan kebanyakan organisasi media terpaksa mula memotong elaun dan gaji bagi mengurangkan kos operasi.

Pendapatan syarikat-syarikat suratkhabar terjejas akibat pandemik Covid-19.

Datuk Muguntan Vanar. Gambar Fail SNT

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar hari ini merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian bantuan kewangan khas terutama  untuk wartawan di negeri ini yang bertugas di barisan hadapan membuat liputan Covid-19.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal cukup prihatin dalam mempertimbangkan permintaan SJA untuk membantu wartawan barisan hadapan yang membuat liputan pandemik terbabit,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lebih 200 wartawan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mula menerima bantuan kewangan terbabit sejak Jumaat lepas.

Menurut Muguntan, sebagaimana petugas barisan hadapan yang lain, golongan wartawan juga berhadapan dengan risiko jangkitan Covid-19 yang mula merebak sejak Januari tahun ini sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“SJA begitu berbesar hati dan gembira dengan bantuan kewangan yang disediakan ini memandangkan ia dapat memenuhi beberapa keperluan wartawan dan keluarga masing-masing terutama mereka yang mahu menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu, bantuan itu turut menyuntik semangat para pengamal media untuk terus menjalankan tugas dalam memberikan maklumat terkini berkenaan Covid-19 kepada rakyat, katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan sumbangan penutup mulut dan hidung serta dan cecair pembersih tangan yang sangat diperlukan para wartawan semasa bekalan barangan berkenaan tidak mencukupi di pasaran.

Ramai kalangan wartawan barisan hadapan sejak pertengahan Mac lepas terpaksa mengitar semula penutup mulut dan hidung mereka akibat kekurangan bekalan.

Tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan nasihat pakar perubatan.

Sementara itu, SJA juga menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon atas sumbangan penutup mulut dan hidung kepada petugas media.

“SJA ingin merakamkan ucapan khas terima kasih kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat minyak dan gas Petronas Malaysia dan Repsol Oil & Gas Malaysia Limited begitu prihatin dan turut sama menyumbangkan penutup mulut dan hidung kepada SJA. -SabahNewsToday