Pilih Bahasa

Bantuan makanan Dun Kemabong diagih kepada penduduk daerah itu di Labuan

LABUAN: Usaha mengagihkan keperluan bantuan makanan yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong turut diperluaskan kepada penduduk daerah tersebut yang dikenalpasti bekerja di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebelum ini, Jamawi telah menyerahkan bantuan sama kepada kira-kira 7,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemabong dan 1,000 KIR warga Kemabong yang bertugas di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Jamawi (dua dari kanan) bersama sukarelawan di Kota Kinabalu menyusun beras dan lain lain keperluan untuk di bawa ke Labuan. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

Jamawi berkata terdapat penduduk dari Kemabong yang bertugas di Pulau Bebas cukai itu telah menghubungi beliau untuk memohon bantuan ekoran dari kesan penularan Covid -19 yang melanda dunia ketika ini sehingga menjejaskan pergerakan mereka keluar rumah mencari rezeki kerana mematuhi larangan PKP.

“Sebanyak 171 bungkusan bantuan makanan telah kita agihkan kepada KIR yang berasal dari Kemabong  yang bekerja di Labuan yang tidak berkesempatan balik ke kampung halaman mereka dan kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka semasa tempoh PKP ini,” katanya.

Misi bantuan itu diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kemabong Burnley Balang bersama beberapa kakitangan UPPM Kemabong yang datang sendiri ke Labuan untuk menyampaikan bantuan tersebut.

Sementara itu, Burnley berkata oleh kerana mematuhi prosedur PKP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, bantuan tersebut tidak dapat disampaikan satu persatu kepada penerima dan ianya akan diselaraskan bersama Jabatan Kebajikan masyarakat Labuan dan tenaga sukarelawan di pulau itu.

Buenley (Kiri) berbincang bersama kakitangan JKM Labuan dan sukarelawan untuk agihan bantuan. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

“Proses agihan ini akan diselaraskan oleh JKM Labuan yang dibantu oleh beberapa tenaga sukarelawan kami di sini untuk disampaikan kepada penerima,” katanya.

Dalam pada itu, Burnley berkata berkemungkinan juga ada warga Kemabong yang berada di Labuan tercicir dari senarai penerima mereka boleh menghubungi beliau untuk diselaraskan kemudian .

Burnley turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JKM Labuan yang membantu sepenuhnya untuk penyelarasan bantuan tersebut .

Turut menyumbang, Menteri Pembangunan Insfrastruktur yang juga Adun Melalap, Datuk Pater Anthony kepada penduduk dari kawasan DUN Melalap yang bertugas di Labuan. – SabahNewsToday