Pilih Bahasa

Bantuan segera untuk mangsa kebakaran Kampung Batung, Pinangah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melakukan apa yang perlu dalam usaha membantu mangsa kebakaran di Kampung Batung, Pinangah Tongod yang mana rumah mereka musnah terbakar pada Selasa lepas.

Keadaan di Kampung Batung Pinangah, Tongod yang terbakar awal pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal berkata beliau telah mengarahkan jabatan serta agensi-agensi yang berkenaan untuk melawat kampung tersebut dan membuat penilaian, seterusnya menyediakan bantuan yang akan disalurkan secepat mungkin.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Ihsan JKM

Ketua Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Eng Suan [email protected]  Philip, 63, yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tongod, yang melecur 90 peratus akibat kebakaran tersebut.

Shafie amat mengingati penduduk di Pinangah di mana beliau mendapat sambutan yang baik apabila beliau melawat ke kawasan tersebut sebelum Pilihanraya Umum ke-14 tahun lepas.

Api sedang marak membakar rumah-rumah di Kampung Batung Pinangah. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Ingatan dan doa saya sentiasa bersama para penduduk kampung, saya juga ingin merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Eng Suan King. Kerajaan akan melakukan apa yang sepatutnya bagi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah akan menyediakan bantuan dalam bentuk makanan dan air untuk tiga hari.

Kelihatan seorang penduduk kampung cuba memadamkan api. Stesen Bomba terdekat ialah di Kinabatangan, 177 km jauh. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Manakala keperluan asas lain seperti tilam dan selimut serta susu formula bayi boleh didapati di pusat pemindahan sementara.-SabahNewsToday