Pilih Bahasa

Pasukan Bomba Komuniti satu keperluan di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Semua kawasan perumahan serta kampung di negeri ini diminta bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bagi mewujudkan lebih banyak pasukan Bomba Komuniti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ia penting berikutan Sabah adalah semua negeri yang luas dan memerlukan pasukan bomba sokongan bagi membantu dalam pencegahan kebakaran di kawasan penempatan masing-masing.

Zuraida (empat dari kanan) bersama tetamu jemputan dan ahli pasukan Bomba Komuniti sempena Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Zuraida berkata setakat ini negeri berkenaan sudah terdapat 212 pasukan Bomba Komuniti dengan keahlian seramai 3,247 orang ahli.

“Menerusi jumlah ini seramai 2,693 adalah lelaki dan 554 wanita. Jumlah ini sekaligus menjadikan Sabah negeri paling ramai memiliki keahlian Bomba Komuniti di negara ini.

“Jumlah ini menunjukkan pertambahan yang banyak kerana hanya terdapat 12 pasukan Bomba Komuniti sahaja diawal penubuhan pasukan ini di Sabah pada tahun 2015 namun ia terus bertambah sehingga kini.

“Pertambahan berkenaan menunjukkan masyarakat di negeri ini sudah mula sedar berkaitan manfaat kewujudan Bomba Komuniti di tempat masing-masing.

Zuraida (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penggerak dasar komuniti negara sempena Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Oleh itu, saya mahu JBPM Sabah terus memberikan maklumat serta infomasi kepada masyarakat khususnya di kawasan pedalaman negeri ini mengenai kepentingan pewujudan pasukan ini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti, dekat sini, hari ini.

Seramai 276 peserta Bomba Komuniti membabitkan sembilan Parlimen menyertai latihan berkaitan kebombaan selama sehari pada 25 Ogos lalu.

Semua parlimen berkenaan ialah Kudat, Sepanggar, Ranau, Tenom, Beluran, Libaran, Silam, Tawau dan Kalabakan.

Zuraida (tiga dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang peserta sempena Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Sementara itu, Zuraida menyatakan pihaknya akan mencadangkan satu peruntukkan khas diberikan kepada pasukan Bomba Komuniti bagi menggerakkan dan pelaksaan aktiviti pasukan terbabit.

“Kita akan mencadangkan peruntukkan ini kepada Menteri Ekonomi supaya beliau boleh mempertimbangkannya di bawah dasar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK ke- 12).

“Perkembangan pasukan ini amat menggalakkan dan mereka memainkan peranan dalam komuniti. Oleh itu, saya kira pasukan ini patut diberikan satu peruntukkan khusus agar lebih memudah pelaksaan sebarang program.

“Peruntukkan melibat bomba komuniti setakat ini hanya diberikan bagi perikat awal sahaja iaitu RM3,000 serta peralatan asas manakala kemudahan lain termasuklah bangunan pejabat, bayaran sewa dan sebagainya adalah hasil usaha mereka sendiri.

“Dengan adanya peruntukkan itu kelak, pasukan Bomba Komuniti ini boleh melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran awam selain melatih penduduk setempat langkah mencegah kebakaran serta menolong menyelamatkan mangsa,” katanya. -SabahNews Today