Pilih Bahasa

Bapa dan anak antara ditahan positif dadah

Oleh Alfred Petrus

KENINGAU: Seorang bapa dan anak antara yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi pasa Isnin.

Kedua-dua beranak terbabit yang berumur 59 dan 29 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor sekitar Keningau.

Salah seorang tangkapan didapati positif dadah. Gambar SNT/Ihsan AADK

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata sewaktu tangkapan dibuat, kedua-dua suspek berada dalam sebuah bilik dan dipercayai baru selesai menggunakan dadah jenis syabu bersama-sama.

Suspek (si bapa) ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan)1983.

Manakala, anak lelaki beliau bakal berhadapan dengan hukuman yang melibatkan tiga tahun penjara dan sebatan kerana positif semula dadah semasa dalam tempoh pengawasan.

Menurut Azry operasi yang disertai oleh enam orang anggota Penguatkuasa AADK Keningau berjaya menahan seramai 12 orang suspek keseluruhannya yang disyaki penagih dadah.

Tambahnya antara yang ditahan turut melibatkan dua suspek lelaki yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan turut gagal ujian saringan dadah jenis syabu.

Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Antara individu yang ditahan AADK. Gambar SNT/Ihsan AADK

Sepanjang operasi dijalankan, seorang wanita yang berusia 21 tahun juga ditahan di atas kesalahan yang sama di sekitar pekan Keningau.

Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 59 tahun dan tangkapan yang dibuat adalah berdasarkan maklumat awam dan juga hasil risikan oleh pihaknya selama tempoh seminggu di semua lokasi sasaran. -SabahNewsToday