Pilih Bahasa

BAPA DITEMUI MATI DIPERCAYAI GANTUNG DIRI

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai maut selepas ditemukan tergantung di dalam biliknya, di rumah papan bertingkat, Kampung Tanjung Batu Darat, di sini, hari ini.

Mangsa, Mat Ronald Oria Narte, 36 tahun, ditemui mati oleh anaknya, sebelum orang awam bertindak membuat laporan polis pukul 8.05 pagi.

Mangsa dipercayai menggantung diri di dalam bilik tidurnya menggunakan tali pinggang selepas ditemukan kesan jerutan di leher mangsa. Gambar SNT /Sumber Media Sosial

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, terdapat satu tali pinggang terjerut pada leher dan tergantung di pintu bilik mangsa.

“Anak mangsa berusia 10 tahun yang baru bangun tidur terus masuk ke bilik mangsa dan melihat bapanya tergantung pada bilik.

“Siasatan mendapati mangsa menggantung diri menggunakan tali pinggang terbabit selepas ditemui kesan jerutan di leher mangsa,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati anak mangsa dijaga oleh mangsa sejak dua bulan yang lalu selepas dibawa oleh isterinya dari Filipina.

“Isteri mangsa kemudian pulang ke Filipina kerana mempunyai masalah rumah tangga dengan mangsa.

“Sejak dari hari itu mangsa hanya tinggal berdua dengan anaknya. Mangsa juga dikatakan sering muram dan mendiamkan diri serta tidak mahu bercakap dengan ahli keluarganya,”katanya.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, tidak ada unsur jenayah yang berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) . – SabahNewsToday