Pilih Bahasa

Bapa jurulatih menyelam akan buat laporan polis jika kematian anaknya ada unsur jenayah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Bapa jurulatih menyelam, Zainal Abdun, 31, yang maut dipercayai akibat terkena bom ikan di Perairan Pulau Kalapuan Semporna akan membuat laporan polis jika hasil bedah siasat menunjukkan terdapatnya unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

Abdun Jamarun, 50, berkata setakat ini pihak polis masih belum memberi maklumat lanjut berhubung hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Tawau, hari ini.

Bapa jurulatih menyelam, Zainal Abdun bersama ahli keluarga tiba di Unit Forensik Hospital Tawau bagi membawa pulang mayat anaknya ke Semporna untuk urusan pengebumian. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Hari ini saya dan ahli keluarga lain datang untuk menuntut mayat arwah sebelum dibawa balik ke Semporna untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Halo.

“Mayat masih lagi berada di dalam bilik bedah siasat, jadi selepas pihak polis sudah mengumpul maklumat baru saya akan buat keputusan sama ada akan membuat laporan polis atau sebaliknya.

“Saya reda dengan takdir yang menimpa anak saya dan kami sangat merasakan suatu kehilangan yang besar,” katanya.

Sementara itu, keluarga dua mangsa pelancong China yang turut maut dalam kejadian itu hadir kira-kira pukul 10 pagi tadi bagi proses pengecaman mayat.

Zhao Bao Hua, 50-an, bapa saudara pelancong warga China, Zhao Zheng, yang turut maut dalam kejadian itu berkata dia hadir bersama isterinya untuk melihat wajah anak tunggal mereka buat kali terakhir.

Katanya selepas proses bedah siasat, mayat Zhao Zheng akan dihantar ke sebuah tokong di sini untuk proses pembakaran sebelum abu mayat dibawa ke Semporna dan dihanyutkan di kawasan mayat mula-mula ditemui.

Difahamkan, kedua-dua pelancong berkenaan adalah sahabat dan memiliki kelulusan dalam bidang jurutera IT di salah sebuah Universiti terkemuka di China.

Kedua-dua mangsa juga mempunyai lesen dan mahir dalam aktiviti menyelam dasar laut.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang menjalankan aktiviti menyelam bagi mendapatkan lesen jurulatih menyelam.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Zainal Abdun bersama dua lagi pelancong iaitu Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam.

Polis Sabah setakat ini sudah menahan dua individu bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday