Pilih Bahasa

BAPA PASRAH ANAK DI TAHAN AADK

Oleh Alfred Petrus

Lapan orang suspek direman selama lapan hari bermula Isnin. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

KENINGAU: Seorang bapa akur apabila anak lelakinya yang berumur 27 tahun di tahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau pada malam Ahad kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata semasa ditahan, suspek berkenaan sempat meminta kebenaran pegawai AADK untuk memeluk bapanya kerana terlalu risau ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang sebelum dibawa ke pejabat AADK Keningau untuk proses penahanan.

Antara suspek yang berjaya ditangkap oleh AADK Keningau. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

“Semasa tangkapan dibuat, bapa suspek memberi kerjasama yang baik dan berharap AADK dapat membantu bagi proses pemulihan anaknya yang sebelum ini pernah ditahan oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas menjalankan Operasi Cegah di sini pada Isnin.

Sementara itu, menurut Azry, Operasi Cegah yang dijalankan oleh pihaknya berjaya menahan seramai lapan orang suspek lelaki berumur lingkungan 23 hingga 33 tahun di sekitar Keningau dan juga Tenom.

“Pada hari yang sama, operasi pertama telah dijalankan pada sebelah pagi di sekitar Tenom dan berjaya menahan dua suspek lelaki.

Dua lagi suspek yang ditahan oleh AADK Keningau. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

“Manakala pada sebelah malam pula, pihak AADK telah menahan enam orang lagi lelaki yang disyaki sebagai penagih dadah.

“Kesemua suspek diperintahkan tahanan reman selama lapan hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Keningau,” jelasnya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana disyaki Penagih dadah dan kesemua suspek gagal dalam ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis syabu.

AADK Keningau berjaya menahan salah seorang suspek. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

Tambah Azry, pihaknya menyeru agar semua pihak terus bersikap prihatin dan segera melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing kepada Pihak AADK secara bersemuka atau menghubungi pejabat AADK Keningau ditalian 087-339886. -SabahNewsToday