Pilih Bahasa

Barangan runcit seludup bernilai lebih RM200,000 dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU : Dua lelaki warganegara Indonesia ditahan dipercayai cuba membawa masuk pelbagai bahan makanan dan barangan runcit bernilai RM209,934 di perairan Batu 3, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 32 tahun ditahan oleh sepasukan anggota yang sedang menjalankan Operasi Gelora Khas di perairan terbabit pukul 11.30 malam.

Suspek menutup barangan terbabit menggunakan kanvas bagi mengelak dikesan pihak penguatkuasa. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Selepas bot jongkong berjaya dipintas kita mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot jongkong terbabit sarat dengan muatan bahan makanan dan pelbagai barangan runcit yang ditutup menggunakan kanvas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan di dalam kanvas terbabit menemui pelbagai bahan makanan dan barangan runcit. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut menemui empat unit tong gas cecair petroleum (LPG).

Katanya, bahan makanan dan barangan runcit berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini untuk pasaran tempatan.

“Kedua-dua suspek ditahan manakala semua barangan bernilai RM209,934 dirampas dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

Dua lelaki warganegara Indonesia ditahan selepas cuba membawa masuk pelbagai bahan makanan dan barangan runcit. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Kes diserah ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau untuk siasatan lanjut dan disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam.-SabahNewsToday