Pilih Bahasa

Barisan pemain diubah, elak kecederaan- Kurniawan

Oleh Chris Maskilone

MALANG, Indonesia: Ketua Jurulatih Tambadau, Kurniawan Dwi Yulianto akan membuat beberapa perubahan bagi menghadapi Persija Jakarta di Stadium Kanjuruhan di sini petang esok.

“Ini termasuk perubahan terhadap barisan pemain kerana kita mahu memberi peluang kepada pemain lain untuk beraksi.

Kurniawan (kanan) bersama penolongnya Jelius Ating (kiri) berbincang sesuatu dengan pengurus pasukan Henry Saimpon sebelum sesi latihan bermula. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Saya harap mereka yang diturunkan nanti akan beraksi sebaik mungkin dan cuba memberi saingan kepada pemain lawan.

“Kita tidak mahu mengambil risiko untuk terus menurunkan pemain sama kerana kita mahu mengelak daripada sebarang masalah kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Kurniawan mengaku kesilapan mudah yang dilakukan anak didiknya adalah punca mereka tewas 0-2 kepada kelab Indonesia, Arema FC dalam aksi pertama kejohanan jemputan Piala Gabenor Jawa Timur 2020 malam tadi.

“Kita dibolosi hasil dari kesilapan mudah dan sudah pasti kami akan memperbaiki lagi permainan kami.

“Bagaimanapun secara keseluruhan saya melihat para pemain ada menunjukkan progresif dan inilah kita mahu kerana apa yang penting dalam kejohanan ini adalah kita mempelajari kesilapan kita.

“Keputusan dalam perlawanan ini sebenarnya adalah perkara kedua kerana ketika ini kami masih cuba membentuk pasukan namun saya akui ada kelemahan yang perlu kita atasi segera,” katanya mengulas perlawanan semalam.

Kurniawan berkata bahagian serangan pasukan juga perlu dipertajamkan lagi kerana kegagalan mereka memanfaatkan peluang juga menjadi faktor kekalahan pasukan.

“Kalau kita memanfaatkan peluang terutama di babak pertama, mungkin keputusannya berbeza.

“Arema punyai tiga peluang dan berjaya menghasilkan dua gol manakala kita memiliki empat peluang tetapi gagal mendapat gol,” katanya.-SabahNewsToday