Pilih Bahasa

Bas ekspres Sabah beroperasi semula esok, mohon kerjasama penumpang patuh SOP: Seboc

KOTA KINABALU: Para pengusaha bas ekspres di negeri ini beri jaminan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat akan diutamakan apabila perkhidmatan pengangkutan awam itu beroperasi semula esok.

Presiden Majlis Pengusaha Bas Ekspres Sabah (Seboc) Datuk Donald Hanapi berkata seramai 20 pengusaha dengan jumlah bas lebih 200 buah sudah bersedia untuk memulakan operasi dan memastikan pematuhan sepenuhnya SOP tersebut.

Datuk Donald Hanapi. Gambar Fail SNT

Dalam hal ini, beliau menasihati para penumpang supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada para pengusaha bas ekspres nanti.

“Mereka yang tidak memberi kerjasama dan gagal mematuhi SOP tidak akan dibenarkan menaiki bas walaupun telah membeli tiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setiap penumpang diwajibkan mengisi borang deklarasi (Covid-19) untuk rujukan pihak berkuasa.

Sebelum menaiki bas, suhu badan para penumpang akan diperiksa dan mereka juga dikehendaki memakai penutup mulut dan hidung serta patuh kepada susunan tempat duduk sesuai dengan kehendak penjarakan sosial, katanya.

Donald menjelaskan para pengusaha hanya dibenarkan mengambil separuh daripada kapasiti maksimum penumpang untuk bas masing-masing.

Setiap kali perjalanan, bas akan melalui proses sanitasi sebelum penumpang masuk, katanya.

Donald berkata tiket boleh didapati secara online melalui aplikasi Easy Book atau daripada kaunter tiket di Terminal Bas Inanam seperti biasa.-SabahNewsToday