Pilih Bahasa

Bas ekspres terbabas, empat penumpang cedera

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Empat penumpang termasuk dua wanita cedera apabila bas ekspres yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas, di Batu 15, Jalan Apas, dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, bas ekspres berkenaan membawa 35 penumpang dari Kota Kinabalu menuju ke Terminal Bas Bandar Sri Indah Tawau.

Empat penumpang cedera apabila bas ekspres dinaiki hilang kawalan lalu terbabas di Batu 15, Jalan Apas Tawau. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Bagaimanapun, empat mangsa berusia 30 hingga 66 tahun cedera manakala 31 penumpang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Katanya pemandu berusia 54 tahun tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian.

“Akibat kejadian itu, bas berkenaan terbabas lalu terlanggar dua tiang elektrik sebelum terseret sejauh 20 meter.

“Empat penumpang bas berkenaan cedera manakala pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari.

Beliau berkata pemandu tidak disyaki mabuk dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Bagaimanapun kes akan disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” katanya. – SabahNewsToday