Pilih Bahasa

Batalion 17 PGA gagalkan cubaan seludup rokok bernilai lebih RM400 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) daerah ini berjaya menumpaskan cubaan seludup rokok pelbagai jenama bernilai RM468,800 dengan tertangkapnya dua lelaki warga tempatan di kawasan pemeriksaan daratan di Jalan Tawau-Kalabakan, awal pagi tadi.

Suspek berusia 20 dan 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota yang sedang menjalankan pemeriksaan dan rondaan di kawasan terbabit, kira-kira pukul 3 pagi.

Rokok seludup bernilai lebih RM400,000 dijumpai dalam van. Gambar SNT/Ihsan PGA

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata ketika kejadian sepasukan tujuh anggota PGA melakukan pemeriksaan terhadap dua van jenis Toyota Hiace yang dinaiki suspek dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Keningau.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua van berkenaan, kita menemui kira-kira 7,620 karton rokok yang dianggarkan bernilai lebih RM464,800 dan dipercayai tidak mempunyai kelulusan cukai kastam.

Kedua suspek yang ditahan membawa rokok seludup itu. Gambar SNT/Ihsan PGA

“Kita turut merampas van yang digunakan kedua-dua suspek dalam kegiatan penyeludupan berkenaan dianggarkan bernilai RM140,000.

“Hasil siasatan mendapati rokok pelbagai jenama itu dipercayai diseludup dari negara Indonesia untuk diedar dan dipasarkan di daerah Keningau.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rokok seludup yang dirampas. Gambar SNT/Ihsan PGA

Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya.-SabahNewsToday