Pilih Bahasa

Batalion 20 PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM148 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

BELURAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 9,216 bungkus rokok seludup pelbagai jenis yang disembunyikan di bonet dua kenderaan jenis Proton Iswara dan Honda Accord, dekat sini, pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata dalam serbuan yang dijalankan pukul 7.30 pagi di hadapan sebuah pasaraya, Batu 8, pihaknya turut menahan dua lelaki Filipina berusia 30an yang memandu kenderaan berkenaan.

Sebahagian daripada rokok yang dirampas dan disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. Gambar SNT / Ihsan Batalion 20 PGA

“Kita kemudian menjalankan Operasi Taring Khas bagi mengesan sindiket penyeludupan rokok menggunakan dua kenderaan yang diparkir berhampiran sebuah pasaraya.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua kenderaan masing-masing dipenuhi muatan 3,540 dan 5,676 rokok seludup pelbagai jenis yang disembunyi di bonet kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rokok seludup yang disembunyikan di bonet kenderaan jenis Proton Iswara. Gambar SNT / Ihsan Batalion 20 PGA

Mohd Nasaruddin berkata semua rokok bernilai 148,684.48 dan dua kenderaan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – SabahNewsToday