Pilih Bahasa

Batalion PGA di seluruh negara akan dilengkapi Unit Tiger Platoon

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar pegawai-pegawai PGA dan 37 peserta kursus. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negara akan dilengkapkan dengan satu Tiger Platoon kecuali Batalion 19 di Cheras.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia bertujuan untuk memantapkan setiap PGA yang ada sekaligus memperkasa Unit Tiger Platoon.

“Setiap batalion di PGA kecuali Batalion 19 akan dilengkapkan dengan satu tiger platoon. Selain daripada tiger platoon ini, konsep latihan dan penugasan juga akan kita serapkan secara beransur-ansur kepada lain-lain platoon infantri PGA.

“Ia adalah untuk memastikan kita akan mempunyai satu pasukan PGA yang kemas, mantap dan mempunyai pelbagai kemahiran, pelbagai tugas dan mempunyai kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk kita berhadapan dengan ancaman-ancaman daripada dalam serta luar negara,”katanya.

Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyemat logo Platoon Tiger. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Kursus Asas Tiger Platoon Siri 4/2019 Briged Sabah dan Pelancaran Logo Tiger Platoon PGA, di Padang Kawad Batalion 17, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff, Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Datuk Zanuddian Samsu Hadi dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan pelancaran logo Tiger Platoon seterusnya menyematkan lencana logo kepada pegawai-pegawai pemerintah batalion PGA dan 37 peserta kursus.

Beliau berkata, Tiger Platoon yang ditubuhkan pada tahun 1993 adalah satu unit yang dilatih khas oleh Pasukan Gerak Khas daripada 69 Komando dan Unit Tindakas (UTK).

“Gabungan kedua-dua pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini telah membawa kepada satu rujukan yang akan memastikan bahawa PGA akan sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi apa jua cabaran dan ancaman yang bakal kita hadapi di masa akan datang.

“Ancaman yang kita dapat lihat pada kali ini di kawasan Sabah khususnya di Pantai Timur Sabah ialah berkaitan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan kemasukan perkara-perkara yang mengancam kepada keharmonian penduduk di Sabah,”katanya.

Acryl menerima plak logo Tiger Platoon selepas merasmikan Penutupan Kursus Asas Tiger Platoon Siri 4/2019 Briged Sabah dan Pelancaran Logo Tiger Platoon PGA. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, Komander Briged PGA Sabah Datuk Zanuddian Samsu Hadi berkata, PGA akan menubuhkan lima Tiger Platoon yang mewakili lima batalion briged Sabah dan kini hanya tinggal satu Tiger Platoon sahaja belum menjalani kursus.

“Selain daripada penambahbaikan kemahiran dan kepakaran, diharap Tiger Platoon dapat ditambah baik dan diperlengkapkan dari segi logistik demi mengukuhkan kemampuan serta perlaksanaan operasi yang lebih efektif di masa hadapan,” katanya. –SabahNewsToday