Pilih Bahasa

Bawa perancangan pembangunan Pekan Baru Sukau dalam RMK 12

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) bakal melakukan perbincangan bersama Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bagi memastikan Blue Print Pekan Baru Sukau dapat dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau berkata LPPB adalah peneraju utama pembangunan Pekan Baru Sukau manakala Sedco dan Perkasa Realty hanya pelengkap untuk projek terbabit.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan (kiri) bersama Datuk Christina dan Datuk Madius pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata Sedco melalui Perkasa Realty sebagai peneraju pembangunan sosio ekonomi komited untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam membangunkan Pekan Baru Sukau malah ia diselaraskan dengan kedudukan Sukau sebagai pusat tarikan pelancong.

“Sehubungan itu, satu kajian terperinci akan dibuat untuk mewujudkan ‘mixed development’ dengan memasukkan komponen hotel dalam projek ini kelak.

“Sebelum wujudnya cadangan projek berkenaan, Sedco menerusi Perkasa Realty sudah melaksanakan pembangunan Kedai Sukau Fasa Pertama merangkumi enam unit kedai setingkat pada tahun 2010 di Pusat Pertumbuhan Desa Sukau.

“Projek ini dilaksanakan secara usahasama dengan Koperasi Serbaguna Sukau Berhad di atas tapak seluas enam ekar milik koperasi.

“Selain itu, selaras dengan pewujudan Pekan Baru Sukau yang diterajui LPPB, pihak Sedco turut diperuntukkan satu kawasan tanah berkeluasan kira-kira enam ekar bagi cadangan pembangunan kedai-kedai sosio ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau (Warisan), Datuk Saddi Abdul Rahman ketika sesi soal jawab sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke 15, dekat sini, hari ini.

Saddi mengemukakan soalan mengenai jangka masa pelaksanaan pembinaan rumah-rumah kedai di tapak Pekan Baru Sukau yang kini sudah tersedia dan turut dicadangkan sebagai pusat pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau pada tahun depan Madius berkata perkara paling penting ketika ini ialah blue print berkenaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Dalam Rancangan Malaysia ke Sebelas (RMK 11), Sedco sudah mengemukakan cadangan pembangunan lapan unit kedai dua tingkat di tapak Pekan Baru Sukau namun cadanga projek ini tidak disenaraikan dalam penggal berkenaan.

“Bagaimanapun, cadangan pembangunan ini kita bercadang bawa dan kemukakan dalam RMK 12 akan datang,” katanya. -SabahNews Today