Pilih Bahasa

Bayi 10 bulan berjaya diselamatkan ibunya dalam kebakaran

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Ibu dan bayi perempuan berusia 10 bulan berdepan detik cemas selepas mendapati rumahnya turut terbakar dalam kejadian di Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4 Jalan Apas, dekat sini tadi.

Suraedah mohammad Djafar, 38, ketika ditemui Sabah News Today berkata dia sempat berlari ke dalam rumah menyelamatkan bayinya selepas mendapati dinding rumahnya mulai terbakar.

Mangsa kebakaran, Suraedah Mohammad Djafar (kanan) sempat menyelamatkan bayi perempuannya berusia 10 bulan dalam kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil Tawau, pagi tadi. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

Katanya ketika kejadian dia hanya tinggal bersama anaknya Nur Azarina Sofian, 10 bulan, manakala suaminya dalam perjalanan mengambil seorang lagi anaknya di sebuah sekolah tadika.

“Ketika itu saya di ruang tamu bersama anak saya sebelum mendengar orang ramai berteriak bahawa ada kebakaran.

“Saya kemudian keluar melihat apa yang berlaku dan mendapati dinding rumah saya mulai terbakar. Saya terus berlari semul ke dalam rumah dan bergegas membawa anak saya keluar.

Kebakaran mengakibatkan 86 buah rumah setinggan jenis kayu musnah. Gambar SNT / Ihsan JBPM

Mangsa juga hanya sempat mengambil dokumen pengenalan diri manakala barangan lain hangus terbakar berikutan api merebak dengan pantas.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, 86 buah rumah musnah dalam kebakaran berkenaan.

Api berjaya dikawal pukul 11.36 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pukul 1.34 tengah hari.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian masih dalam siasatan. – SabahNewsToday