Pilih Bahasa

BEG PLASTIK PENYEBAB IKAN JERUNG PAUS MATI

Oleh Chris Maskilone

Bangkai ikan jerung paus jantan terdampar di Pantai Tanjung Aru Menumbuk. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Hidupan Liar

KOTA KINABALU: Seekor ikan jerung paus jantan ditemui mati terdampar di pantai Tanjung Aru, Menumbuk pada 5 Februari lalu.

Seorang guru dari SMK Menumbuk terserempak dengan bangkai ikan yu paus tersebut ketika sedang berjogging dan kemudiannya terus menghubungi Jabatan Hidupan Liar.

“Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai penemuan bangkai tersebut saya mengarahkan Unit Penyelamat Hidupan Liar untuk menyiasat.

Staff unit penyelamat hidupan liar sedang membuat bedah siasat terhadap bangkai tersebut. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Hidupan Liar

“Sungguhpun, yu paus tidak termasuk senarai dilindungi dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar namun kami khuatir kemungkinan akan terdapat kes lain di sepanjang pantai tersebut,” kata Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

Mujur, pemeriksaan oleh ranger Jabatan Hidupan Liar di kawasan berhampiran tidak menemukan apa-apa selain daripada bangkai yu paus jantan tersebut.

Sementara itu, pengurus unit penyelamat hidupan liar, Dr Sen Nathan berkata hasil daripada bedah siasat yang dijalankan di lokasi telah menemukan satu beg plastik besar berukuran 46cm panjang dan 32cm lebar dalam organ penghadaman mamalia tersebut.

Beg plastik yang ditemui dalam sistem penghadaman ikan yu paus mati itu. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Hidupan Liar

Beg plastik itu telah mengakibatkan saluran usus penghadaman tersumbat sehingga ianya mati kebuluran.

Kes sedemikian juga pernah dilaporkan berlaku kepada penyu dan hidupan laut lain yang menelan beg-beg plastik terbuang terapung di dalam laut kerana disangkakan obor-obor.

Menurut Augustine pencemaran laut terutama sisa beg plastik ini amat membimbangkan kerana ia mengancam hidupan marin.

“Ia mengingatkan kepada kita betapa pentingnya bagi sisa plastik dilupuskan dengan cara betul ataupun sebaiknya jangan lagi guna barang-barang plastik demi melindungi hidupan laut,” katanya.

Petugas dari Jabatan Perikanan Sabah menangkat kepala yu paus tersebut. Beratnya dianggarkan 150 kilogram. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Hidupan Liar

Dalam pada itu, pasukan Jabatan Perikanan Sabah diketuai oleh ketua pejabat pengurusan sumber marinnya Lawrence Kissol turut dihantar ke pantai Tanjung Aru, Menumbuk bagi mendapatkan sampel daripada bangkai yu paus tersebut.

Antara bahagian yang diambil adalah kepala dan sirip bagi kegunaan program kesedaran dan pembelajaran.

Pasukan itu turut mendapatkan sampel tisu dan rangka tulang bagi tujuan penganalisaan DNA dan umur manakala bahagian selebihnya ditanam di kawasan bangkai ditemui.

Lawrence berkata pengeksploitasian yu paus atau Rhincodon typus adalah dilarang kerana ianya disenaraikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Terancam.

Beliau juga sependapat dengan Jabatan Hidupan Liar tentang betapa pentingnya sisa buangan diurus dengan baik demi pemuliharaan hidupan marin negara ini.-SabahNewsToday