Pilih Bahasa

BEKALAN BAHAN API DI SABAH MENCUKUPI – KPDNHEP

Oleh Mohd Adam Arinin

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas (tiga kanan) bersama pegawainya melihat paras bekalan minyak di sebuah stesen minyak di Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah memberi jaminan bekalan minyak petrol dan diesel mencukupi dan pengguna di negeri ini dinasihatkan agar tidak perlu khuatir.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata jaminan itu diberikan selepas pihaknya membuat pemeriksaan mengejut ke setiap stesen minyak petrol dan diesel di seluruh negeri.

“KPNDHEP Sabah telah dan akan membuat pemeriksaan stesen minyak petrol dan diesel di seluruh negeri berikutan ada khabar angin mengatakan ketiadaan bekalan minyak petrol dan diesal pada awal tahun baharu ini.

“Kita juga telah membuat sebanyak 243 pemeriksaan ke atas 208 stesen minyak petrol dan diesel dan memberi jaminan bekalan ini mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas melawat beberapa stesen minyak di sini.

Pemeriksaan dilakukan oleh Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas (dua kiri) bersama pegawainya di sebuah stesen minyak di Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Georgie, operator stesen minyak di Sabah diharap mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak KPNDHEP termasuk menutup pam minyak di stesen mereka secara sengaja tanpa mengalami sebarang kerosakan.

“Sekiranya sesebuah operator stesen hanya menutup sebuah pam tanpa kebenaran daripada KPDNHEP, ia dianggap menjadi satu kesalahan tindakan boleh diambil,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan sekiranya terdapat masalah pada pam, operator stesen minyak perlu memaklumkan perkara terbabit kepada KPDNHEP.

“Jika didapati bersalah, operator stesen minyak akan dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama atau sehingga RM3 juta bagi kesalahan kedua,” katanya.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada KPDNHEP jika mendapati ada stesen minyak petrol dan diesel melanggar arahan dan peraturan dikeluarkan.

Dalam pada itu, KPDNHEP Sabah telah membuat sebanyak 56,092 pemeriksaan di premis termasuk pasaraya dan pasar tamu sepanjang tahun ini dengan merekodkan sebanyak 1,100 kes melibatkan nilai rampasan hampir RM7.5 juta.

Antara kesalahan yang sering kali dilakukan oleh peniaga tidak meletakkan tanda harga atau menjual barang kawalan tidak mengikut harga ditetapkan. -SabahNewsToday