Pilih Bahasa

Bekalan barangan keperluan harian cukup untuk Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidil Fitri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menegaskan tiada sebarang gangguan bekalan barangan keperluan harian menjelang sambutan Pesta Kaamatan serta Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata pihaknya mendapati semua barang keperluan trmasuklah tepung, gula dan minyak masak adalah mencukupi di peringkat borong serta pembekal.

Georgie (kanan) menunjukkan minyak masak yang sudah menjalani pembungkusan semula di salah sebuah premis peringkat pemborong di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Georgie berkata setakat hari ini terdapat lebih 1,066 kilogram (kg) bekalan gula dan 780,217 kg tepung bagi menampung keperluan pengguna sempena musim perayaan tidak lama lagi.

“Terdapat juga sebanyak lebih 540,000 kg bekalan minyak masak paket serta lebih 650,000 kg minyak masak botol dicatatkan untuk tempoh sama.

“Selain barangan keperluan makanan, kita juga menjangkakan bekalan bagi petrol dan diesel berada pada tahap mencukupi selain tidak mengalami gangguan dengan jumlah keseluruhan 21,574,461 liter bagi petrol manakala 26,633,764 liter untuk diesel,” katanya turut menyatakan bekalan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 669,886 kg.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pemeriksaan ke atas pemborong barang perlu dan pembungkusan semula minyak masak di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan, di sini, hari ini.

Menurutnya pemeriksaan seumpama ini penting bagi memastikan pengguna dapat memperolehi bekalan barang perlu dengan mencukupi dan dalam harga yang berpatutan.

Dalam pada itu, Georgie berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan barang kawalan utama.

“Situasi ini menunjukkan pengguna boleh mendapatkam bekalan barang keperluan dengan mudah dipasaran.

“Kita juga menjalankan penguatkuasaan ke atas peniaga-peniaga yang gagal mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Saya juga meminta pengguna di luar memaklumkan kepada kami sekiranya terdapat sebarang gangguan bekalan keperluan dan masalah berkaitan harga agar siasatan dapat dilaksanakan,” katanya. -SabahNews Today