Pilih Bahasa

Bekalan barangan makanan stabil, terkawal – Ronald Kiandee

Orang ramai yang membuat pembelian panik dilihat beratur panjang di kaunter pembayaran salah sebuah pasar raya di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PUTRAJAYA, 17 Mac — Status bekalan barangan makanan di Malaysia buat masa ini berada di tahap stabil dan terkawal, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

 Beliau berkata kementerian yang diterajuinya itu akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta kementerian-kementerian lain dalam memastikan bekalan makanan terus berada dalam tahap stabil dan terkawal sepanjang tempoh sekatan.

Beliau merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam usaha kerajaan mencegah penularan baharu penyakit COVID-19.

“Kementerian akan terus memantau dan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa sekiranya berlaku sebarang perkembangan dalam atau luar negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengunjung sebuah pasar raya dilihat membawa bersama makanan ringan ketika tinjauan pembelian panik dibuat di Tanjung Aru. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kiandee seterusnya memaklumkan bahawa stok beras di peringkat kilang, borong dan runcit masih berada pada tahap konsisten iaitu purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik setiap bulan berbanding keperluan bulanan negara iaitu 200,000 tan metrik. 

“Kementerian sentiasa memantau kedudukan stok bekalan beras secara berkala melalui pemegang-pemegang lesen kilang, borong dan runcit beras,” katanya.

Menteri itu seterusnya berkata pengeluaran serta bekalan daging dan telur ayam yang kebanyakannya dihasilkan secara tempatan adalah mencukupi untuk menampung permintaan domestik. 

“Secara purata pengeluaran ayam adalah antara 57 juta hingga 59 juta ekor sebulan berbanding penggunaan dalam negara yang dicatatkan antara 43 juta hingga 45 juta ekor sebulan,” katanya.

Antara pengunjung yang membuat pembelian panik sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan tengah malam nanti. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pengeluaran telur sebulan pula adalah kira-kira 800 juta biji sebulan berbanding penggunaan yang dicatatkan pada sekitar 620 juta hingga 630 juta biji sebulan, jelas Kiandee.

Beliau berkata walaupun bekalan makanan seperti ikan, sayur dan buah-buahan untuk kegunaan tempatan adalah mencukupi, namun jumlah eksport ke negara luar seperti Singapura dan China menunjukkan trend penurunan susulan penularan COVID-19. 

“Dalam keadaan ini, pihak kementerian akan terus memantau perkara ini bagi memastikan golongan petani, nelayan dan penternak tidak terjejas,” katanya.

Beliau menegaskan orang ramai juga perlu mengelak daripada melakukan pembelian bahan makanan  berlebihan yang boleh membawa kepada situasi ketidaksamarataan dari segi akses bekalan makanan kepada orang ramai.

— BERNAMA